Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sekolah agama JAIS turut ditutup dua hari
Diterbitkan:  Oct 5, 2015 6:27 AM
Dikemaskini: 10:55 PM

Semua sekolah agama di bawah kendalian Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan turut ditutup selama dua hari mulai hari ini.

Timbalan Pengarah JAIS, Ahmad Zaki Arsad berkata ia selaras dengan kenyataan Kementerian Pendidikan yang mengarahkan sekolah di seluruh Semenanjung kecuali Kelantan ditutup selama dua hari berikutan jerebu teruk yang melanda.

"Tiada penggantian kelas perlu dilakukan berikutan penutupan ini," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata bagaimanapun pentadbir sekolah perlu bertugas seperti biasa.

Sementara itu, 931 sekolah rendah dan menengah di seluruh Selangor pula ditutup selama dua hari bermula hari ini berikutan perkara sama.

Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Zainuren Mohd Noor berkata ia melibatkan 916,223 pelajar dan arahan penutupan berkenaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan hari ini disebarkan kepada kesemua pentadbir sekolah serta-merta.

Sekolah rendah dan menengah yang ditutup membabitkan 131 di Klang; Kuala Selangor (92); Kuala Langat (72); Hulu Langat (127); Hulu Selangor (68); Sabak Bernam (64); Gombak (104); Sepang (51); Petaling Perdana (136); dan Petaling Utama (86).

Setakat 1 tengah hari beberapa kawasan di Selangor masih merekodkan bacaan IPU paras sangat tidak sihat termasuk di Shah Alam (266), Pelabuhan Klang (227), Petaling Jaya (218) dan Banting (217).

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid mengumumkan semalam bahawa semua sekolah di Semenanjung kecuali Kelantan ditutup selama dua hari mulai hari ini.

Manakala Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut menangguhkan jadual kuliah di semua cawangannya di Selangor hari ini kerana IPU mencapai tahap sangat tidak sihat.

Naib Canselor UiTM Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata penangguhan itu hanya melibatkan jadual kuliah manakala peperiksaan akhir pelajar diploma akan diteruskan mengikut jadual dan warga kerja UiTM dikehendaki hadir bertugas seperti biasa.

Katanya penangguhan kuliah pada hari-hari berikutnya pula akan diumumkan sehari sebelum tarikh penangguhan berdasarkan pemantauan IPU dari semasa ke semasa.

"Bagi kampus UiTM di negeri lain, makluman mengenai penangguhan kuliah adalah berdasarkan bacaan IPU, namun ia tertakluk kepada keputusan Rektor Kampus masing-masing," katanya dalam kenyataan semalam.

Universiti Selangor (UNISEL) juga turut menangguhkan operasinya hari ini dan akan kembali beroperasi seperti biasa pada Selasa.

Pemangku Naib Presiden dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Pengantarabangsaan UNISEL, Prof Dr Mokhtar Abdullah berkata keputusan itu dibuat berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Selangor yang semakin meningkat.

"Penutupan operasi melibatkan kedua-dua kampus di Bestari Jaya dan Shah Alam," katanya dan menambah pengumuman mengenai penangguhan pengajian seterusnya akan diumumkan berdasarkan pemantauan IPU dari semasa ke semasa.

Setakat pukul 7 malam tadi, Shah Alam mencatatkan bacaan IPU 183, Pelabuhan Klang (180) dan Banting (168).

- Bernama

Lihat Komen
ADS