Berita Malaysiakini

Undi tak percaya, PAS mahu diadakan perbincangan

Diterbitkan  |  Dikemaskini

PAS hanya akan menyokong undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak jika ketua pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengadakan perbincangan mengenai usul tersebut.

Setiausaha agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata sebagai pakatan pembangkang, pihaknya sentiasa bersama untuk melihat usul itu.

Bagaimanapun, menurut Takiyuddin yang juga ketua whip PAS, parti itu terbuka untuk berbincang mengenainya tetapi biarlah ia dilakukan

secara teperinci.

“PAS terbuka untuk berbincang, namun terlalu awal untuk menyokongnya kerana kita mahu tengok dahulu usul tersebut. Apakah sekadar mahu PM letak jawatan.

“Bagi PAS kita lebih suka ketua pembangkang mengadakan perbincangan mengenai usul tersebut.

“Kita kena bincang sampai habis, siapa akan ganti perdana menteri? Adakah saya,” katanya kepada Malaysiakini dalam nada bergurau.

Sementara itu ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Salleh berkata secara prinsipnya parti Islam itu bersetuju dengan apa saja langkah yang bertepatan dengan Perlembagaan negara.

“Sehingga kini kami tidak dimaklumkan adanya usul tersebut. PAS hanya akan memutuskan bila mana adanya perbincangan berhubung perkara tersebut.

“Secara prinsipnya PAS bersetuju apa jua langkah yang bertepatan dengan peruntukan perlembagaan negara dan mengikut prosedur

perundangan,” kata Nuridah kepada Malaysiakini ,

PKR dilaporkan sebagai berkata Wan Azizah, yang juga presiden parti itu, akan membentangkan usul tidak percaya terhadap perdana menteri dalam sesi Parlimen yang akan datang Parlimen yang bermula pada 19 Oktober

DAP telah mengumumkan bahawa ia akan menyokong usul itu.

Dengan hanya 88 daripada 222 MP di Dewan Rakyat, pembangkang tidak mempunyai majoriti untuk mendesak sebarang undi tidak percaya terhadap Najib.

Pakatan pembangkang baru, Pakatan Harapan, yang tidak termasuk PAS, mempunyai 72 Ahli Parlimen.

Sebelum itu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata, parti itu hanya akan mengalahkan Najib melalui kaedah yang "sihat".