Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tok Pa: Kandungan TPPA didedah sebulan lagi
Diterbitkan:  Oct 7, 2015 12:58 PM
Dikemaskini: 5:03 AM

Butiran mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan didedahkan kepada rakyat Malaysia dalam masa satu bulan termasuk kandungan analisis faedah kos, kata Datuk Seri Mustapha Mohamed.

"Sebulan lagi kandungan perjanjian akan didedahkan kepada umum. Kandungan Cost Benefit Analysis juga akan siap dan diumumkan,” tulis menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu di Facebook.

Beliau yang mesra dipanggil 'Tok Pa' berkata kedua-dua perkara tersebut akan dibentangkan di Parlimen dalam masa dua bulan.

MP Jeli itu juga mengingatkan bahawa Malaysia mempunyai tempoh selama dua tahun untuk mengesahkan perjanjian itu dan negara boleh menolak atau menerima TPPA dalam tempoh itu.

"Parlimen akan bahas dan buat keputusan setuju atau tidak dengan TPPA. Jika pun Parlimen setuju, Malaysia Ada tempoh dua tahun untuk ratifikasi dan boleh tolak atau setuju dalam tempoh tersebut," katanya.

Mustapa mewakili Malaysia pada rundingan TPPA dengan 11 pihak lain iaitu Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Mustafa berkata kerajaan masih lagi belum menandatangani perjanjian itu kerana keputusan itu terletak di tangan ahli parlimen.

“Ahli ahli parlimen akan buat keputusan nak setuju atau tolak TPPA apabila dibentang di parlimen.

“Yang buat keputusan nak setuju atau tidak, nak tandatangan atau tidak ialah ahli parlimen. TPPA belum di tandatangan lagi,” katanya.

Perjanjian itu menerima kritikan hebat daripada pelbagai kumpulan masyarakat sivil kerana didakwa mengabaikan hak pengguna sebaliknya hanya memberikan keuntungan kepada syarikat global multinasional.

Timbang sebelum tolak

Sebelum ini beliau berkata akan mempertimbangkan hampir kesemua kebimbangan dan sensitiviti yang dibangkitkan Malaysia seperti isu perolehan kerajaan, perusahaan milik negara dan bumiputera.

Bagaimanapun beliau berkata di dalam dunia ini tidak ada yang sempurna dan perjanjian itu harus dipertimbangkan dengan teliti bagi mendapatkan keputusan yang terbaik.

"Setiap yang kita buat ada buruk baiknya, dalam dunia tidak ada yang sempurna 100 peratus.

"Kalau buruk lebih banyak dari baik kita tolak. Tapi jika baik lebih banyak dari buruk, kita kena timbang dengan teliti sebelum kita tolak," katanya.

Lihat Komen
ADS