Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Susulan pendedahan tujuh pemimpinnya dipantau untuk tindakan disiplin, Umno disaran mencari pendekatan mengukuhkan parti bukan sebaliknya.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian ( gambar ) mengingatkan ketujuh-tujuh pemimpin yang dipantau sudah tentu mempunyai penyokongnya sendiri.

"Usaha mesti menjurus kepada merapatkan barisan dan bukan meregangkan kerana musuh Umno bukan ahli mereka yang berkorban dalam pertahankan kedudukan parti, termasuk sama ada yang memegang jawatan ataupun tidak dalam parti,” kata Sivamurugan.

Pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) itu juga berkata sebarang tindakan perlu menarik benang dalam tepung memandangkan masing-masing mempunyai sumbangan kepada parti.

Setiausaha Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini mencetuskan tanda tanya selepas mendedahkan tujuh pemimpin parti itu dipantau kerana dikatakan melanggar disiplin parti.

Tidak menamakan pihak itu, beberapa pemimpin Umno yang dilihat lantang terhadap pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin mengisi senarai itu.

Mereka mungkin Tun Dr Mahathir Mohamad, timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, naib presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Selain itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut disebut-sebut, di samping bekas setiausaha agung Umno Tan Sri Sanusi Junid dan bekas ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS