Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada laporan yang dibuat oleh Performance Management & Delivery Unit (PEMANDU) dan Education Performance and Delivery Unit (PADU) dalam mencari mekanisme untuk memperkasa penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah.

Antara cadangan yang telah diketengahkan adalah untuk melaksanakan Program Dwi-Bahasa (DLP) untuk membolehkan beberapa mata pelajaran diajar dalam bahasa Inggeris bagi sekolah-sekolah tertentu.

Menurut laporan tersebut matapelajaran Sains, Matematik, dan Reka Bentuk dan Teknologi/ Teknologi Maklumat dan Komunikasi adalah matapelajaran yang wajib untuk diajar menggunakan Bahasa Inggeris.

Munurut laporan tersebut, program DLP tersebut akan dilaksanakan untuk pelajar Tahun 1 dan Tahun 4 untuk Sekolah Kebangsaan dan Tingkatan 1 untuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) bermula tahun 2016 yang akan melibatkan 300 sekolah rintis.

ABIM menegaskan program DLP yang dicadangkan ini adalah satu usaha terancang untuk mengembalikan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains Matematik dan Bahasa Inggeris (PPSMI) yang terbukti gagal dan terpaksa dimansuhkan oleh kerajaan secara rasmi pada tahun 2012.

PEMANDU dan PADU adalah badan yang dirujuk serta dianggap berkuasa dalam merangka sesebuah dasar. Justeru sebarang cadangan ataupun dasar yang dikemukakan akan dijadikan sebagai rujukan ataupun narasumber.

Oleh itu ABIM menuntut pihak PEMANDU dan PADU memastikan sebarang cadangan yang ingin diutarakan khususnya dalam bidang pendidikan sejajar dengan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Dalam konteks DLP, PEMANDU dan PADU WAJIB merujuk dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) sepertimana yang telah diputuskan semenjak tahun 2009.

Dasar MBMMBI yang diputuskan kerajaan telah menetapkan kesemua Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan akan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk semua subjek bermula 2016 melainkan pelajar tingkatan enam.

Cadangan yang diutarakan menerusi laporan tersebut juga seolah-olah bertujuan untuk membezakan kelas golongan pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK). Langkah ini akhirnya akan menghasilkan generasi pelajar yang cacamarba terutama dari sudut tahap pemahaman sesuatu mata pelajaran.

ABIM turut menegaskan, pandangan bahawa mata pelajaran sains dan matematik perlu diajar melalui pengantar Bahasa Inggeris sudah disangkal oleh banyak kajian ilmiah sama ada dalam negara mahupun kajian di peringkat antarabangsa.

Selain itu, pemimpin dari kalangan pertubuhan bukan kerajaan, ahli bahasa dan golongan cendekiawan sebelum ini telah menegaskan bahawa usaha untuk memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan tetapi tidak dengan menggantikan bahasa pengantar dari Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris.

Justeru, ABIM menyatakan bahawa masalah kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris bukan terletak kepada faktor bahasa pengantar yang diguna dalam sistem pendidikan, tetapi ialah pendekatan pengajaran yang digunakan.

Dalam perkembangan berkaitan, ABIM juga menuntut semua pihak melihat dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) ini secara menyeluruh yang turut menekankan hasrat besar untuk memastikan pelajar sekolah menguasai Bahasa Melayu dengan baik.

Justeru itu, selain memperkukuh bahasa Inggeris, dasar MBMMBI tersebut perlu melihat keperluan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagi memastikan bahasa tersebut menjadi bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa pentadbiran dalam usaha kita membina sebuah negara bangsa yang kukuh dan bersatu padu.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ setiausaha agung ABIM.

Lihat Komen
ADS