Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selain berdemonstrasi, wakil rakyat Umno seharusnya memanfaatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi membincangkan isu pentadbiran negeri itu yang didakwa ‘cacamarba’.

Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata demikian ketika diminta mengulas penganjuran himpunan “Selamatkan Negeri Selangor daripada Kerajaan Pakatan Cacamarba” di Ampang, Ahad ini.

Ia digerakkan oleh Ketua Umno Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos, orang kuat di sebalik himpunan baju merah pada 16 September lepas.

“Mereka boleh salurkan kepada DUN Selangor sebab anggota Umno pun ada wakil. Wakil rakyat Umno boleh menyuarakan apa yang dikatakan cacamarba itu.

“Umno Selangor seharusnya memanfaatkan DUN Selangor untuk membawa perkara-perkara yang mengatakan (pentadbiran Selangor) cacamarba, tidak terurus dan sebagainya,” kata Shamsul kepada Malaysiakini.

Shamsul yang juga anggota Parlimen Bukit Katil, Melaka berkata, jika benar dakwaan Yunos, sudah tentu sultan Selangor akan membangkitkan isu tersebut seperti dilakukan Majlis Raja-raja berhubung krisis 1MDB.

“Tak pernah pula kita dengar Sultan Selangor sebagai payung rakyat membangkitkan isu-isu mempertikaikan kerajaan negeri Selangor tidak seperti tuntutan Majlis Raja-raja yang jelas mempertikaikan jawapan kerajaan dalam isu 1MDB,” ujar Shamsul.

Jamal bercadang mengadakan satu lagi perhimpunan "berskala besar" di Kajang sebaik sahaja dibebaskan dari lokap polis selepas ditangkap susulan kenyataannya berkaitan kemungkinan rusuhan di Jalan Petaling, Kuala Lumpur.

Pengerusi Gabungan NGO Melayu itu berkata tindakan itu dibuat kerana presiden PKR dan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail didakwa tidak memenuhi janji pilihan raya kecil dua tahun lalu.

Jamal kemudian membatalkan hasrat mengadakan demonstrasi di Kajang sebaliknya mensasarkan pentadbiran Selangor bawah Menteri Besar Mohamed Azmin Ali antaranya susulan isu denggi negeri.

Lihat Komen
ADS