Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas ADUN Alor Limbat maut ditembak
Diterbitkan:  Oct 9, 2015 5:48 PM
Dikemaskini: 11:04 AM

Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat Alias Abdullah, 51, maut dipercayai ditembak pada jarak dekat di rumahnya di Kampung Alor Limbat Bukit Payong di Marang hari ini selepas pulang daripada solat Jumaat.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Abd Rahman yang mengesahkan kejadian itu berkata polis masih lagi menyiasat motif kejadian tersebut.

"Polis masih menyiasat daripada beberapa aspek dan saya telah mengarahkan anggota saya untuk mendapatkan laporan siasatan lengkap," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa yang berada di bahagian dapur rumahnya didatangi seorang lelaki tidak dikenali menaiki motosikal lalu melepaskan satu das tembakan yang mengenai pipi kiri mangsa.

Susulan kejadian itu mangsa dibawa ke klinik kesihatan Bukit Payung oleh jiran mangsa Mohd Zuraini Mamat, untuk diberikan rawatan kecemasan sekitar 2.15 petang, namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia.

Allahyarham wakil rakyat Alor Limbat sejak 2004 selama dua penggal dan tewas kepada calon PAS pada pilihan raya umum ke-13 lalu manakala jawatan politik terakhirnya ialah sebagai ketua Umno cawangan Alor Limbat.

Sebelum menjadi wakil rakyat, Allahyarham bertugas sebagai Ketua Unit Pendakwaan Negeri Terengganu (Timbalan Pendakwa Raya/Peguam Kanan Persekutuan) dari 1 Mei 1997 hingga 18 November 1999.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat anak.

- Bernama

Lihat Komen
ADS