Kementerian nafi kenaikan yuran taska
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menafikan adanya kenaikan yuran taska tahun hadapan seperti yang disebarkan menerusi laman sosial.
Malah kementerian juga mempersoalkan kewujudan Persatuan Tadika Taska Malaysia yang turut menyebarkan anggaran kenaikan yuran itu di media sosial.
Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim ketika menafikannya berkata sebarang cadangan mengenai kenaikan yuran harus melalui kementerian itu bagi memastikan bayaran yang dikenakan tidak membebankan ibu bapa.
"Kita pun tidak pasti dari mana datang nama Persatuan Tadika Taska Malaysia itu kerana buat masa ini hanya ada Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia," katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Seminar Kaunselor Berdaftar Lembaga Kaunselor 2015 di Putrajaya hari ini.
Menurut Rohani kementerian sedang memeriksa status Persatuan Tadika Taska Malaysia berkenaan kerana taska di setiap negeri perlu berdaftar dengan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia.
"Kita juga telah maklumkan perkara itu kepada Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia bagi mendapatkan maklumat daripada persatuan atau negeri mana punca berita yang tidak benar seperti itu boleh tersebar," katanya.
Dalam pada itu, Rohani berkata kementeriannya juga telah menubuhkan jawatankuasa tertinggi bagi menangani masalah berkaitan taska termasuk soal yuran dan prosedur operasi standard yang diketuai timbalannya Datin Paduka Chew Mei Fun.
"Mereka kerap bermesyuarat dan Mei Fun akan memaklumkan kepada saya setiap sebulan sekali hasil mesyuarat dan setakat ini tidak pernah dimaklumkan mengenai isu kenaikan yuran," katanya.
Rohani turut menambah persatuan taska tidak boleh berpakat sesama mereka mengenai yuran atau mereka bakal berhadapan dengan dakwaan mengikut Akta Persaingan 2010.
- Bernama

