Dr Boo letak jawatan ketua pembangkang DUN Johor

   

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Skudai Dr Boo Cheng Hau mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor semalam selepas kekalahannya dalam pemilihan barisan jawatankuasa DAP negeri.

Beliau berkata surat peletakan jawatannya dihantar kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Tan Sri Mohamad Aziz, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng serta Setiausaha DAP negeri Gan Peck Cheng.

Dr Boo berkata keputusan itu diambil selepas beliau gagal mempertahankan jawatannya dalam jawatankuasa DAP negeri di Batu Pahat kelmarin.

Beliau menganggotai Jawatankuasa DAP negeri sejak tahun 1995 dan mengetuai jawatankuasa itu dari tahun 2005 hingga tahun lepas sebelum ditewaskan oleh Anggota Parlimen Kluang Liew Chin Tong.

Sementara itu ketika dihubungi, Mohamad mengesahkan menerima surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pembangkang itu yang dihantar kepada jurutulisnya.

Beliau turut menjelaskan kedudukan Dr Boo sebagai ADUN Skudai tidak terjejas.

- Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In