Kerajaan DAP Pulau Pinang didakwa menarik kembali bantuan kepada dua sekolah rendah Islam iaitu Sekolah Rendah Islam Al-Ansor (SRIA) dan Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum (SRIBU).
Ketua penerangan PAS negeri Mohd Yusni Mat Piah berkata pihaknya kesal dengan tindakan itu dan menggesa isu pendidikan itu tidak dipolitikkan.
“Kami juga mengingatkan agar tidak menjadikan politik sebagai alasan untuk menafikan bantuan kepada dua buah SAR (sekolah agama rakyat) ini,” katanya.
“Lebih-lebih lagi, masa hadapan lebih 500 pelajar yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar miskin termasuk hampir 80 kakitangannya bakal terjejas dari keputusan tersebut.”
Menyifatkannya “aneh, pelik dan meragukan”, Pemuda PAS negeri juga mendakwa surat makluman pemberian bantuan diserahkan pada 3 September tetapi ditarik balik pada hari sama.
Mohd Yusni berkata PAS negeri tidak menafikan peruntukkan kepada (SAR) tahun ini telah diagihkan oleh kerajaan negeri walaupun lewat hingga ke penghujung tahun.
Namun, katanya, mengapa dua buah sekolah ini dikeluarkan daripada senarai penerima.
Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi kerajaan negeri berhubung isu itu.
