1MDB desak Tony Pua ‘cakap dan buat’
Syarikat pelaburan negara 1MDB yang kini sarat hutang hari ini menggesa Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua ‘cakap dan buat’ serta menyediakan bukti jelas kepada pihak berkuasa undang-undang untuk tindakan selanjutnya.
“1MDBP secara konsisten menyatakan jika terdapat sebarang bukti salah laku, maka tindakan perlu dilakukan melalui undang-undang,” kata 1MDB dalam kenyataan.
Bagaimanapun, jika Pua tidak dapat menyediakan bukti maka beliau perlu berhenti membuat dakwaan liar dan tidak berasas yang secara jelasnya bermotifkan politik, kata kenyataan itu.
Syarikat milik kerajaan itu berkata Pejabat Peguam Negara sudah mengemukakan fakta berkaitan siasatan 1MDB melalui kenyataan yang jelas dikeluarkan pada 13 Okt 2015 dalam www.agc.gov.my.
“Dalam ringkasan Pejabat Peguam Negara telah mengkaji semua dokumen berkaitan dalam kertas siasatan Bank Negara Malaysia (BNM) mematuhi undang-undang tadbir berkaitan perkara terbabit dan mengesahkan ‘tidak ada kesalahan telah dilakukan’ oleh 1MDB,” katanya.
1MDB juga berkata syarikat akan terus bekerja rapat dengan Jabatan Audit Negara bagi menyediakan maklumat yang dikehendaki untuk laporan akhir yang akan dikemukakan pada hujung tahun ini kepada PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara) yang dianggotai Pua.
- Bernama
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.