Polis didakwa gagal mengambil sebarang tindakan walaupun selepas menerima kira-kira 20 aduan mengenai perangai ganas pengawal keselamatan yang disyaki membunuh tiga orang anaknya.

Menurut Bernama , T Janaki kakak kepada T Krishnamma, isteri kepada pengawal keselamatan tersebut berkata aduan-aduan itu telah dibuat oleh adiknya yang berusia 38 tahun itu dan anggota keluarga yang lain.

Dalam kejadian Sabtu lalu, pengawal keselamatan berusia 46 tahun itu dikatakan telah menceik hingga mati tiga anaknya Utakumar, 6, Keseprada, 5 dan Arini, 3 di rumah mereka di Kulai, Johor.

Lelaki itu kemudiannya cuba menggantung dirinya dan anak perempuannya yang berusia 14 tahun tetapi jeritan anaknya itu telah menarik perhatian jiran mereka yang datang menyelamatkan kedua-duanya.

Suspek yang kini dalam keadaan koma, dirawat di Hospital Sultanah Aminah Hospital manakala anak perempuannya itu, dari perkahwinan sebelumnya, diletakkan di bawah penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita di bilik mayat Hospital Sultanah Aminah semalam, Janaki menunjukkan laporan-laporan polis yang dibuat di balai polis Port Klang pada bulan Ogos dan September.

Perangai ganas

Manakala Krishnamma, yang turut berada di hospital itu berkata beliau meninggalkan rumahnya dua minggu lalu kerana tidak tahan lagi dengan perangai ganas suaminya.

Katanya, beliau telah memberitahu anak-anaknya yang dia akan kembali untuk mengambil mereka tinggal bersamanya.

"Saya lari kerana tidak tahan dengan perangai ganas suami saya. Dan anak-anak saya merayu supaya saya membawa mereka bersama," katanya seperti yang dilaporkan oleh akhbar hari ini.

"Saya meninggalkan rumah pada larut malam, tetapi saya berjanji untuk datang mengambil mereka apabila ada tempat tinggal," tambahnya.

Pada hari Sabtu, kata Krishnamma, beliau pergi ke balai polis Kulai untuk membuat satu lagi aduan terhadap suaminya dan meminta polis menyelamatkan anak-anaknya.

"... tetapi (saya) diberitahu bahawa kesemua anak-anak saya telah meninggal beberapa jam sebelumnya," katanya sepertimana dipetik oleh Bernama.

Krishnamma juga menafikan laporan media yang mendakwa dia mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Selalu didera

"Tiada apa lagi yang tinggal untuk saya di dunia ini," katanya dengan sedih.

Menurut laporan News Straits Times, T Ganisan, 46, bapa saudara kepada mangsa terbabit, berkata suspek selalu mendera isterinya tetapi tidak pernah mengapa-apakan anak-anaknya.

"Dia tidak pernah minum, sekurang-kurangnya di depan kami, dan kami terkejut apabila dia bertindak membunuh anak-anaknya," tambahnya.

Katanya, Krishnamma sudah banyak kali lari dari rumah, tetapi pulang semula ke rumahnya kerana mengenang anak-anaknya.

Sementara itu, satu laporan akhbar memetik sumber-sumber polis sebagai berkata kenyataan sudah diambil daripada anak perempuan suspek tersebut. Lelaki itu kini ditahan reman selama tiga hari sejak Sabtu lalu.

Mayat tiga kanak-kanak tersebut dikebumikan di tanah perkuburan Hindu di Jalan Johor Baru-Air Hitam semalam.