Gadis itu tidak berapa sihat. Dia memakai baju lengan panjang dalam cuaca panas. Sarah Amer, 23, harap akan cepat kebah dari demam yang menyerangnya.

Bersama Syahida Nawar, 30, Sarah sibuk dengan persediaan untuk acara khusus menyelamatkan Pekan Ampang, “Pekan Ampang Heritage Talk and Photo Walk”, yang dijadual esok pagi.

Acara sulung dirancang untuk mempertahan pekan dengan kedai-kedai lama itu daripada menjadi korban kepada Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE).

Lebuh raya itu dijadual bermula bulan depan.

Tempat untuk acara, sebuah dewan orang ramai, telah ditempah, dan semuanya telah menunggu, demam panas bukan penghalang buat Sarah.

Dia sudah dua bulan terlibat membina momentum untuk kempen menyelamatkan bangunan-bangunan lama, warisan yang kebanyakannya menjadi perniagaan keluarga turun-temurun.

Dalam tempoh itu, Sarah dan Syahida bekerja keras mendokumentasi dan mengambil gambar kawasan yang pada mulanya sebuah hab perlombongan timah, yang kini berdiri tidak jauh dari KLCC.

Kedua-dua wanita itu mempunyai misi untuk memperkasa masyarakat perniagaan setempat, yang kebanyakan kini dihuni warga tua, untuk mempertahankan pemilikan daripada menjadi korban lebuh raya baru.

Mereka berdua antara ramai lagi aktivis yang terlibat menggerakkan kempen itu.

Lintasan 32km

SUKE dirancang sejauh 32km untuk menjadi laluan alternatif kepada Lebuh Raya Jaringan Tengah II (MRR2) daripada Sri Petaling Ke Ulu Klang, melalui Sungai Besi, Cheras, Kajang dan Taman Putra Ampang.

Konsesi 60 tahun dianugerahkan kerajaan kepada syarikat Projek Lintasan Kota Holdings (Prolintas).

Di tengah-tengahnya 40 rumah kedai, termasuk pentas punk terkenal Rumah Api.

Sebahagian kedai di situ sudah disewakan kepada pihak lain tetapi pemiliknya masih tinggi di tingkat atas.

Bagaimanapun ada juga yang sudah kosong, terbiar dipenuhi lalang dan diselaputi lumut.

Puluhan tahun menjadi syurga lombong timah, aktiviti itu berakhir awal 80-an ketika era perlombongan masyarakat Hakka.

Sarah lahir beberapa dekad kemudian, tetapi usia tidak menghalang anggota Facebook Kelab Sejarah dan Warisan Malaysia itu daripada memulakan kempennya pada 8 Oktober lalu.

Kira-kira 200 orang dikatakan akan menyertai acara esok, tetapi bagi Sarah, penyertaan orang tempatan paling penting.

“Kami mahu penduduk tempatan turut serta dan kongsi memori mereka di Pekan Ampang,” kata Sarah yang mengedarkan risalah berkaitan di kejiranan itu pada Rabu.

[Baca laporan penuh]

Gadis itu tidak berapa sihat. Dia memakai baju lengan panjang dalam cuaca panas. Sarah Amer, 23, harap akan cepat kebah...

Posted by Malaysiakini (BM Version) on Friday, 16 October 2015