Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tok Pa: M'sia boleh tarik diri walaupun selepas tandatangan TPPA

Malaysia boleh menarik diri daripada Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) tanpa dikenakan penalti, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya, pilihan untuk "menarik diri" itu boleh dilakukan walaupun selepas perjanjian itu diratifikasi dan berkuat kuasa pada 2018, tetapi langkah itu akan menjadikan Malaysia "kurang kompetitif" berbanding negara-negara ahli yang lain.

"Walaupun selepas kita menandatangani, diratifikasi dan dilaksanakan pada 2018, dan kami berasa tidak selesa, kita boleh tarik balik, tidak ada masalah," katanya sambil menambah bahawa TPPA adalah perjanjian sukarela.

Oleh itu, katanya, Malaysia boleh menarik diri dan juga tidak akan dikenakan penalti jika berbuat demikian.

Mustapa menegaskan demikian kepada hadirin program #TanyaGomen di Kelana Jaya hari ini. Baca berita penuh

Sementara itu, Bernama melaporkan Mustapa berkata TPPA akan dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen serta hanya ditandatangani sekiranya mendapat persetujuan Parlimen.

Jika ditandatangani, TPPA perlu melalui proses ratifikasi selama dua tahun yang akan melibatkan penggubalan dan pindaan undang-undang untuk diselaraskan dengan TPPA, dan jika undang-undang yang dibentang tidak dipersetujui oleh Parlimen, Malaysia boleh membatalkan perjanjian, katanya.

Mustapa juga berkata kandungan TPPA akan didedahkan kepada umum dalam tempoh beberapa minggu lagi bagi memastikan masyarakat mendapat gambaran sebenar perjanjian.

Beliau turut memberi jaminan pelaksanaan TPPA tidak akan menyebabkan kemasukan barangan bawah piawaian ke Malaysia.

"Kita ada dasar-dasar negara, kita ada SIRIM untuk memastikan barang-barang yang diimport mengikuti piawaian. Dasar-dasar ini akan diteruskan," katanya yang menambah jika perkara seumpama berlaku, ia disebabkan penguatkuasaan tidak berkesan.

Lihat Komen
ADS