Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR kemuka usul undi tidak percaya PM
Diterbitkan:  Oct 17, 2015 11:39 AM
Dikemaskini: 3:44 AM

Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian sudah mengemukakan notis kepada parlimen untuk membentangkan usul tidak percaya terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Usul berkenaan sudah ada dalam kertas aturan mesyuarat pada Isnin lalu namun ia mungkin tidak terlalu mengujakan kerana ia diletakkan pada susunan ke-25 daripada keseluruhan 28 usul.

Keadaan itu memungkinkan usul berkenaan tidak sempat dikemukakan dalam sidang kali ini.

Ia mengingatkan kepada rang undang-undang persendirian cuba dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Mac lalu bagi membolehkan pelaksanaan hudud di Kelantan.

Usul berkenaan dimasukkan dalam aturan mesyuarat tetapi gagal dibentangkan sehingga sidang parlimen lalu berakhir.

Semalam Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata orang ramai perlu bersikap realistik mengenai usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri kerana sistem parlimen negara ini menyukarkan cadangan berkenaan dilaksanakan.

"Kebimbangan saya ialah orang ramai tidak memahami peraturan parlimen. Mereka mungkin menuduh pembangkang menipu.

"Namun ia masih perlu diusahakan dan anda mesti bersikap realistik terhadap hasilnya," kata Ahli Parlimen Pandan itu.

Mula-mula nafi kemudian ugut saman

Usul Hee tertumpu kepada dakwaan bahawa perdana menteri gagal memberi penjelasan memuaskan terhadap dana bernilai RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun persendirian Najib.

Ia juga berkisar kepada siasatan terhadap skandal 1MDB.

Usul itu ialah: Bahawa Dewan ini mengemukakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas alasan penerimaan “Wang Derma” berjumlah RM2.6 billion yang pada mulanya dinafikan, kemudiannya mengugut untuk menyaman akhbar Wall Street Journal dan akhirnya mengakui wang tersebut diperolehi daripada individu yang berasal dari Timur Tengah.

"Dengan tidak menjelaskan mengapa “Wang Derma” ini dimasukkan ke akaun peribadi dan bukan atas nama parti, Dewan juga tidak berpuas hati ke atas siasatan skandal 1MDB yang berlaku di mana “ Special Task Force ” yang sepatutnya menyiasat skandal ini dibubarkan tanpa memberi sebarang alasan sehingga Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail ditamatkan perkhidmatan, pegawai SPRM dipindahkan, pihak polis mengganggu siasatan SPRM dan Bank Negara, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang sedang menjalankan siasatan terhadap kes 1MDB tidak berfungsi akibat daripada empat anggota PAC yang terbabit telah dilantik menjadi Menteri atau Timbalan Menteri oleh Perdana Menteri, Pengarah Cawangan Khas (SB) diberhentikan, Timbalan Pengarah Cawangan Khas dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri tanpa diberi tugasan.

"Disebabkan masalah yang dinyatakan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjejaskan imej Negara di dunia dan menyebabkan pelabur tidak yakin terhadap kerajaan sekarang sehingga ekonomi menjadi tidak stabil, serta pasaran saham menjunam teruk dan kejatuhan nilai wang ringgit Malaysia berbanding dengan dolar Amerika Syarikat.

"Maka rakyat Malaysia tidak lagi percaya terhadap perdana menteri dan dengan ini Dewan hendaklah mengambil ketetapan untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap perdana menteri.”

Lihat Komen
ADS