Pemuda Gerakan hari ini menggesa kerajaan mengenakan hukuman lebih berat - termasuk penjara - terhadap penganjur protes jalanan sambil menyalahkan pembangkang kerana sering membuat demonstrasi "untuk kepentingan politik diri sendiri, termasuk keinginan untuk menjatuhkan kerajaan".

Ketuanya, Tan Keng Liang berkata, penggubalan Akta Perimpunan Aman 2012 adalah wajar untuk membolehkan protes aman dijalankan.

Pada masa sama, katanya, seksyen 4 (2)(c) akta tersebut ,melarang demonstrasi jalanan diadakan dan pesalah boleh didenda maksimum RM10,000.

"Sejak pengubalan akta tersebut, kita tetap melihat demonstrasi jalanan yang kebanyakannya berunsur politik terus diadakan walaupun ia membawa risiko yang besar terhadap keamanan negara kita.

"Bagi 2015 saja, kita telah melihat dua demonstrasi jalanan diadakan, satu oleh pihak yang berbaju kuning ketika sambutan Hari Kebangsaan, dan satu lagi oleh pihak yang berbaju merah, ketika sambutan Hari Malaysia.

"Pilihan tarikh untuk demostrasi tersebut tidak sesuai dan memalukan sambutan kemerdekaan dan penubuhan negara kita," katanya ketika menyampaikan ucapan di Mesyuarat Agung Tahunan Gerakan di Kuala Lumpur hari ini.

Kata Tan, walaupun polis memberi amaran kepada pengajur demonstrasi jalanan tersebut, mereka tetap berdegil dan meneruskan demonstrasi dan langsung tidak menghiraukan amaran polis.

Keadaan itu, katanya, berlaku kerana penganjur tidak takut terhadap hukuman di bawah akta berkenaan yang hanya mengenakan hukuman maksimum RM10,000.

Justeru, Tan berkata, Pemuda Gerakan mencadangkan kerajaan menyediakan peruntukan bagi membolehkan hukuman itu ditingkatkan lagi.

"Pemuda Gerakan mencadangkan hukuman bagi penganjur demonstrasi jalanan dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM50,000, selain hukuman penjara sehingga enam 6 bulan," katanya.

Beliau juga berharap kerajaan memberi perhatian kepada cadangan berkenaan serta-merta "demi kepentingan negara".

[Baca berita asal]