Anggota parlimen Segambut Lim Lip Eng menyeru sokongan semua pihak untuk membahaskan isu kenaikan harga tol di 18 lebuh raya di Lembah Klang.
Lim berkata beliau akan mencadangkan usul tergempar untuk membahaskan perkara itu apabila parlimen bersidang Isnin ini.
“Saya berharap speaker Dewan Rakyat akan membenarkan usul ini dibahaskan,” katanya.
“Saya juga berharap ahli-ahli parlimen daripada kedua-dua belah blok kerajaan dan pembangkang akan menyokong usul tersebut atas dasar kepentingan negara dan kesannya terhadap ekonomi rakyat dari segenap lapisan masyarakat, tidak kira kaum dan latar pendapatan.”
Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata ahli-ahli Parlimen patut berbahas berkenaan hal ini dan meneliti perjanjian konsesi tol serta mencari jalan menghentikan kenaikan tol tanpa perlu membayar pampasan.
“Dewan Rakyat juga patut berbahas kemungkinan kerajaan mengambil alih syarikat-syarikat konsesi tol lebuhraya untuk mengelakkan situasi kenaikan tol mendadak daripada berlaku lagi pada masa depan,” katanya.
Katanya, demi kepentingan bersama sebarang permasalahan politik harus diketepikan dalam isu itu.
