Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Saifuddin Abdullah didakwa tidak sabar menjadi 'ayam sabung' PKR kerana mengkritik firma pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas menyertai PKR Khamis lalu.
Bagi Umno pula, mereka melihat penyertaan bekas timbalan menteri itu ke dalam PKR sebagai "hilangnya beban besar", tulis Awang Selamat dalam akhbar Mingguan Malaysia hari ini.
"Saifuddin bukan ikon muda seperti Khairy Jamaluddin. Semalam atas tiket PKR, beliau mula bersuara menghentam kerajaan berhubung isu 1MDB. Beliau tidak sabar mahu menjadi ayam sabung PKR.
"Pada saat beberapa pemimpin PKR teruja menerima Saifuddin, Umno melihat pemergian beliau sebagai hilangnya beban besar," tulis Awang dalam akhbar itu.
Saifudin sebelum ini sering bersikap kritikal terhadap kerajaan termasuk hadir ke mesyuarat pembentukan gabungan baru DAP, PAS dan Parti Amanah Negara (AMANAH) menyebabkan beliau menerima surat tunjuk sebab daripada partinya.
Dalam ruangan pojoknya juga, Awang turut menyifatkan Saifuddin sebagai "duri dalam daging" kerana mengisytiharkan keluar Umno dan menyertai PKR.
Awang turut memperkecilkan bekas MP Temerloh itu "tidaklah cemerlang dan sehebat mana" malah ditolak akar umbi di Pahang, serta pengaruhnya semakin berkurangan selepas tewas dalam pilihan raya umum lalu.
"Sebab itu Awang boleh faham mengapa majoriti ahli Umno lega dengan keputusannya itu. Kononnya beliau ada pengaruh dalam kalangan orang muda, juga tidak benar.
"Maka benar kata ramai, Umno tidak rugi apa-apa. Aura negatif Saifudin telah terbang daripada parti tersebut dan biarlah PKR menanggung liabiliti itu," tulisan Awang Selamat dipetik.
