Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan laksana empat langkah transformasi perkukuh MKN
Diterbitkan:  Oct 19, 2015 12:49 PM
Dikemaskini: 5:05 AM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan akan melaksanakan empat langkah transformasi bagi memperkukuhkan fungsi dan peranan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Kota Tinggi Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, Najib berkata, ini termasuk membentangkan Rang Undang-Undang MKN pada sidang Parlimen kali ini.

Menurutnya, keperluan akta baharu itu bagi mewujudkan MKN secara perundangan sepertimana yang dilakukan di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, India, Jepun, Filipina, Thailand dan United Kingdom.

"Langkah-langkah transformasi antara lain ialah kajian semula mengenai fungsi dan peranan MKN sebagai agensi yang melaksanakan dasar-dasar yang diputuskan oleh MKN.

"Ini termasuk keperluan untuk mewujudkan suatu akta baru iaitu Akta MKN bagi mewujudkan MKN secara perundangan sepertimana yang dilakukan di Amerika Syarikat, India, Jepun, Filipina, Thailand, United Kingdom dan sebagainya.

"Rang Undang-undang MKN akan dibentangkan di Parlimen pada mesyuarat ketiga, penggal ketiga, parlimen ke-13 pada Oktober hingga Disember tahun ini," katanya.

Dalam pertanyaannya, Noor Ehsanuddin meminta perdana menteri menyatakan sama ada kerajaan bercadang untuk membuat transformasi menyeluruh terhadap MKN agar lebih efektif dalam menangani cabaran terutama membabitkan keselamatan global.

Selain itu, Najib juga berkata, kerajaan juga akan menyemak semula Arahan-arahan dan Peraturan Tetap Operasi (SOP) MKN bagi memastikan arahan berkenaan masih lagi relevan dan boleh digunapakai sesuai dengan persekitaran semasa.

Penggubalan Dasar Keselamatan Negara juga akan dilakukan bagi menterjemahkan hasrat dan pendirian kerajaan berhubung pemeliharaan keselamatan serta menjamin kepentingan strategik negara khususnya menjelang 2020.

Menurutnya, dasar itu akan menjadi dasar utama yang memayungi dasar-dasar kerajaan termasuk Dasar Pertahanan, Dasar Keselamatan Dalam Negeri dan dasar-dasar berkaitan.

Ia juga menjadi panduan kepada agensi-agensi keselamatan untuk melaksanakan fungsi dan tanggungjawab masing-masing, katanya.

"Dasar Keselamatan Negara ini dijangka akan disiapkan pada awal tahun 2016," kata Najib yang juga adalah ahli parlimen Pekan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS