Seorang bekas wartawan Perbadanan Penyiaran British (BBC) ditemui mati dalam keadaan yang mencurigakan di lapangan terbang di Turki.

The Independant melaporkan, Jacqueline Sutton atau dikenali sebagai Jacky meninggal dunia di lapangan terbang Ataturk, Istandbul ketika dalam perjalanan ke Irbil, Iraq.

Portal berita yang memetik media Turki itu berkata, wartawan dan juga pelajar itu dijangka ke Irbil bagi melakukan kerja lapangan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) mengenai sokongan pembangunan antarabangsa terhadap media profesional wanita di Iraq dan Afghanistan.

Menurut laporan itu, bagaimana Sutton, 50, meninggal dunia masih lagi belum diketahui.

Malah, rakan-rakannya mempersoalkan laporan media Turki yang mendakwa bahawa wanita itu membunuh diri dengan menggantung diri selepas terlepas penerbangan ke Irbil dan tidak mempunyai wang untuk membeli tiket lain.

"Berita yang mengejutkan dan menyedihkan tentang kematian Jacky Sutton di Istanbul. Bukan sahaja siasatan oleh pihak tempatan diperlukan tetapi juga antarabangsa," kata seorang rakannya, Rebecca Cooke kepada Press Association.

Penghormatan juga diberikan oleh rakan-rakan Sutton. Profesor Amin Saikal, Pengarah Pusat Pengajian Arab dan Islam Universiti Nasional Australia - tempat di mana Sutton belajar berkata, kakitangan mereka sangat sedih dan terkejut dengan kematian tragis pelajar PhD yang cemerlang itu.

Menurut BBC, Sutton bukan sahaja seorang sarjana penyelidikan yang cemerlang, tetapi seorang kawan yang menghargai rakan dan rakan sekerja serta memberi sumbangan luar biasa terhadap kerja dan aktiviti-aktiviti pusat.

Kementerian Luar juga mengesahkan akan menyediakan bantuan konsular kepada keluarga Sutton.