Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Singapura ada agen perangkap suami hidung belang
Diterbitkan:  Oct 21, 2015 2:23 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

Dengan upah sebanyak SGD $5,000 (RM15,400), wanita kaya di Singapura boleh mengupah wanita lain untuk memerangkap suami yang disyaki curang menerusi perkhidmatan agen.

Objektif utama adalah untuk menghapuskan hubungan sulit yang bakal merosakkan rumahtangga.

Permintaan untuk perkhidmatan ini banyak digunakan oleh golongan wanita, namun ia juga turut diguna pakai oleh lelaki.

Menurut laporan The New Paper , perkhidmatan sedemikian digelar sebagai ‘penjerat wanita.’

Pakar Runding Penyiasatan Persendirian DP Quest David Ng mendedahkan, mereka mempunyai skim yang menawarkan perkhidmatan berkenaan kepada pelanggan.

"Ini bukan perkhidmatan yang diiklankan. Permintaan itu mesti datang dari pelanggan. Mereka biasanya tahu apa mereka mahu. Mereka akan menghantar profil penjerat kekasih yang dikehendaki, khusus dengan kriteria yang disukai oleh pasangan,” katanya.

Taktik mengumpan juga bergantung kepada corak perhubungan, ada sesetengah pelanggan mengkehendaki penjerat kekasih menggoda pihak ketiga.

Kedua-dua kaedah yang digunakan tidak akan diketahui oleh pasangan yang hendak diperangkap.

'Kekasih' dari China

Kebanyakan penjerat kekasih datang dari negara asing seperti China, Bangladesh dan Timur Eropah yang menggunakan visa dan tidak layak bekerja.

Dan kesempatan ini diguna oleh agensi yang tidak mahu didakwa menyediakan perkhidmatan sedemikian.

“Apabila ditanya, agensi berkenaan akan menafikan terbabit dalam aktiviti tetapi tidak menolak untuk menyatakan yang mereka tahu mengenai perkhidmatan berkenaan,” katanya.

Untuk penjerat kekasih yang mempunyai latar belakang perisikan, harga mereka biasanya lebih mahal.

Bagaimanapun, tidak semua yang dirancang biasanya akan berjaya. Perkhidmatan penjerat kekasih juga mempunyai banyak kelemahan.

Biarpun harganya mahal, penjerat kekasih yang diupah tidak semestinya mampu menyelesaikan masalah dan boleh melakukan tugas mereka.

Bukan itu saja, tidak semua agensi penyiasatan menawarkan perkhidmatan ini dan ia juga tidak sah kerana agensi asing terbabit tidak mempunyai lesen untuk menjadi penyiasat atau menguruskan operasi siasatan selain melanggar undang-undang permit bekerja.

Agensi yang menawarkan perkhidmatan juga ada dikatakan terbabit dalam penipuan - apabila sebenarnya - mereka yang mengupah wanita berkenaan untuk menjadi perempuan simpanan.

Pakar anggap sia-sia

Walau apa pun modus operandi perkhidmatan penjerat kekasih terbabit, tumpuan utama adalah kepada wanita kaya yang tidak mempunyai pilihan tetapi mahu menyelamatkan perkahwinan mereka.

Hakikatnya, mengupah penjerat kekasih untuk menyelamatkan perkahwinan mempunyai lebih banyak kesan negatif.

Menurut Ketua Reach Counselling yang juga kaunselor perkahwinan Chang Goh Song Eng, perkara itu dianggap sia-sia.

“Ia menipu dan penipuan itu akan kekal dalam perkahwinan,” katanya.

Namun, Chang akui perkhidmatan sedemikian mungkin berkesan bagi sesetengah pihak.

“Kaedah itu mungkin kelihatan perlu dan jika mereka ada cara lain sudah tentu ia akan diguna pakai.

“Ia mudah saja, hal ini adalah cubaan terdesak untuk menyelamatkan perkahwinan,” katanya.

Lihat Komen
ADS