Rafizi: Usul tak percaya dari Hee sebahagian strategi
Tindakan seorang anggota parlimen biasa PKR membentangkan usul tidak percaya terhadap perdana menteri sebelum ini dilihat kucar-kucir apabila DAP mahu tugas itu digalas ketua pembangkang.
Bagaimanapun, kata Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli, langkah diambil oleh anggota parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian itu sebahagian strategi pembangkang.
“Ini soal strategi. Sebab kalau contohnya presiden failkan dulu sebelum mesyuarat majlis Pakatan (Harapan), ia nampak tak cantik sebab nampak macam PKR buat sendiri.
“Strateginya ialah kita buat mesyuarat majlis Pakatan dahulu untuk dapat tujuan itu.
"Kita (Hee) masukkan dulu bila dah endorse dekat parlimen, kita tarik balik (usul Hee) dan Kak Wan akan usulkan.
Tapi saya faham masyarakat nampak kepincangan,” katanya kepada Malaysiakini .
Nafi 'konspirasi'
Sementara itu, ditanya sama ada terdapat konspirasi 'mengenakan' Azizah dengan tindakan itu, Rafizi menolaknya.
Rafizi juga berkata pembangkang tidak sempat bermesyuarat sebelum parlimen bersidang kerana kebanyakan pemimpin mereka berada di luar negara ketika itu.
Pertemuan hanya dapat dilakukan pada hari pertama parlimen bersidang, kata Rafizi.
Selepas mesyuarat bersama DAP, PKR dan Parti Amanah Nasional (AMANAH), Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail bersetuju membentangkan sendiri usul itu selepas ditegur DAP.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebelum ini menggesa Hee menarik balik usul undi tidak percaya itu kerana usul sepenting itu harus dibuat ketua pembangkang.
Lim berkata, perkara itu bukan kerja remeh seperti “permainan guli”.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
