Kit Siang: Adakah Dr M mangsa 1MDB seterusnya?
Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menjangkakan seteru politiknya, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi "mangsa" seterusnya dalam usaha kerajaan menutup mulut pengkritik 1MDB.
"Saya hanya mangsa terbaru raksasa 1MDB dan ramai lagi, termasuk Dr Mahathir, bakal menjadi korban," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mahathir adalah pengkritik paling lantang terhadap syarikat pelaburan negara 1MDB yang kini sarat hutang itu, sejak tahun lalu.
Sehari selepas dirinya digantung keahlian selama enam bulan, Lim yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah menyenaraikan korban ‘raksasa’ 1MDB.
Ini termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.
Ketiga-tiga mereka dipecat daripada jawatan masing-masing pada akhir Julai kerana kelantangan membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Lim.
Muhyiddin dan Shafie adalah pengkritik vokal 1MDB manakala Gani pula dispekulasikan sedang merangka kertas pertuduhan berhubung salah guna dana 1MDB dengan dakwaan turut membabitkan nama perdana menteri.
Lim juga mengingatkan bahawa Majlis Raja-Raja juga melahirkan kebimbangan terhadap isu 1MDB dan bertitah supaya siasatan disegerakan.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.