‘Najib jadi ahli parlimen ketika KJ berlampin’
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjadi bidasan portal pro-Umno berikutan kenyataannya yang memberi persepsi sama dengan pembangkang bahawa bahawa ahli parlimen yang tidak berpuas hati dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak boleh menolak Bajet 2016.
Menurut artikel yang disiarkan di MyKMU.net, yang setia mempertahankan Najib, tidak mengejutkan jika kenyataan seumpama itu dibuat oleh pembangkang ataupun Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Yang penulis tak faham penyokong kerajaan macam Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin pun bagi persepsi yang sama ini apa pulak?
“Dah sah sah jumlah kerusi BN dalam Parlimen lebih banyak dari pembangkang, jadi kerisauan (Bajet 2016 tak lulus) ini datang dari mana dan untuk apa?” soal artikel ini.
MyKMU juga menegaskan bahawa usul menggantung pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang selama enam bulan dari Parlimen diluluskan dengan undian 107-77 semalam.
“Mereka ternyata hanya pandai buat bising, realitinya tak boleh buat apa-apa pun sebab jumlah yang ada sikit, setakat buat kecoh bolehlah,” katanya.
Menurut MyKMU, jika pembangkang gagal menghalang Lim daripada ‘digantung’, bagaimana mereka akan dapat mengundi menolak bajet yang akan dibentangkan oleh Najib pada jam 4 petang ini.
“Gaya dan cara Khairy bercakap macam Najib ini baru masuk politik sebulan.
"Sedarkah Khairy bahawa Najib dah jadi ahli parlimen masa umur dia belum pun cecah dua bulan, nak gebang apa?
“Tahulah Najib macam mana nak kendali segala ancaman untuk mengagalkan pentadbirannya termasuk Bajet 2016 ni,’ kata portal itu lagi.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.