Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azalina: Lim diberi masa mencukupi minta maaf
Diterbitkan:  Oct 24, 2015 12:20 PM
Dikemaskini: 4:24 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menafikan dakwaan pembangkang bahawa pemimpin DAP Lim Kit Siang tidak diberi hak untuk mempertahankan dirinya di parlimen sebelum digantung.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata Lim mempunyai masa yang mencukupi untuk memberi penjelasan dan memohon maaf atas kenyataan yang dibuat beliau terhadap Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

"Beliau diberikan tempoh tiga hari untuk menarik balik kenyataan terhadap speaker pada 19 Oktober. Malah, beliau juga diberi peluang sekali lagi untuk melaksanakan permintaan speaker sebelum usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) dibaca pada jam 11.30 pagi semalam," katanya dalam satu kenyataan.

Lim yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah digantung dari Dewan Rakyat selama enam bulan selepas didakwa menghina speaker.

Ahli parlimen veteran DAP itu mendakwa Pandikar menyalahgunakan kuasanya untuk mensabotaj prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung skandal 1MDB.

Berpengalaman di Dewan Rakyat

Beliau juga menyatakan speaker tidak mempunyai kuasa di bawah undang-undang parlimen untuk menangguhkan pendengaran PAC.

Azalina juga tidak bersetuju dengan seruan pembangkang untuk Lim ( gambar ) dirujuk kepada jawatankuasa hak dan keistimewaan di bawah Peraturan Mesyuarat 80 dan 80A.

Selain itu, berhubung cadangan pembangkang bahawa Lim sepatutnya dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan di bawah Peraturan Mesyuarat 80 dan 80A juga tidak timbul malahan tiada keperluan.

Katanya, ini kerana peruntukan kedua-dua Peraturan Mesyuarat ini memerlukan satu siasatan dijalankan dengan saksi-saksi dipanggil untuk memberi keterangan.

“Sebagai seorang ahli parlimen veteran, sejak 1969, Lim seharusnya sudah arif terhadap Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan tahu apa tindakan sewajarnya yang perlu dilakukan apabila Tuan Yang di Pertua Dewan Rakyat berkali-kali meminta beliau menarik balik kenyataan dan memohon maaf,” katanya.

Azalina menegaskan bahawa Lim telah digantung bukan kerana 1MDB sepertimana yang didakwa pembangkang.

Justeru, Azalina berkata untuk memastikan ketelusan kerajaan telah mengarahkan Ketua Audit Negara dan PAC untuk menyiasat 1MDB.

“Arahan untuk Jabatan Audit Negara mengaudit 1MDB dikeluarkan selepas ia diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet pada 4 Mac 2015,” kata Azalina.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS