Anwar: Sokong Malaysiakini perjuang kebebasan media
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan sumbangan malaysiakini sebagai satu inisiatif besar dalam kerangka demokrasi di Malaysia.
Kewujudan
malaysiakini
selaku media independen, katanya, telah membolehkan masyarakat menilai dan mendapatkan maklumat tanpa sekatan dan tanpa perasangka.
Sambil mengucapkan tahniah kepada malaysiakini sempena sambutan ulangtahun kelimanya, Anwar juga menyifatkan sumbangan akhbar dalam talian itu sebagai 'satu perkembangan yang mematangkan proses demokrasi'.
Beliau menegaskan demikian dalam rakaman video perutusan ringkasnya sempena ulangtahun kelima malaysiakini di Kuala Lumpur malam tadi.
Anwar tidak dapat menghadiri majlis tersebut kerana kini berada di Afrika Selatan untuk menghadiri satu siri ceramah di negara itu.
Menurutnya,
malaysiakini
juga telah memberi sumbangan yang amat besar ke arah mewujudkan kebebasan media di negara ini.
Tegasnya lagi, proses demokrasi tidak akan memberi sebarang makna tanpa kebebasan untuk mendapat maklumat.
Sehubungan itu, katanya, malaysiakini bukan sahaja telah memberi peluang kepada rakyat untuk bersuara dengan bebas, tetapi ianya sendiri bersifat kritikal dalam laporannya.
Agenda pembaharuan
Anwar juga mengakui bahawa malaysiakini turut mengkritiknya, tetapi katanya, beliau menerimanya dengan penuh rasa tanggungjawab 'kerana itulah demokrasi".
"Adalah menjadi tanggungjawab semua masyarakat prihatin yang komited kepada demokrasi dan agenda pembaharuan untuk memberi sokongan dan galakan kepada malaysiakini ," katanya.
Anwar juga mengucapkan terima kasih kepada kesemua kakitangan
malaysiakini
kerana komitmen mereka yang tidak pernah jemu untuk memperjuangkan agenda pembaharuan yang bermula dengan kebebasan media.
Sementara itu, Pengarah Urusan Tabung Pinjaman Pembangunan Media (MDLF) Sasa Vucinic dalam ucapannya di majlis tersebut berkata MDLF mengkhususnya pelaburannya dalam syarikat-syarikat media.
"Kami terbabit dalam projek di 27 negara, yang membabitkan pelaburan berjumlah kira-kira AS$40 juta," katanya.
Menurut Sasa, falsafah MDLF ialah untuk melabur hanya dalam syarikat media yang independen yang mengamalkan kewartawan secara profesional, adil, bertanggungjawab serta kewartawan berasaskan fakta dan mempunyai komitmen kepada standard dan profesional yang tinggi." katanya.
"Berdasarkan kepada pengalaman pelaburan kami, ini merupakan 'formula kejayaan' untuk mendapatkan pulangan dalam industri media, jika seseorang itu mengamalkan strategi pelaburan jangka panjang," katanya.
Sehubungan itu, katanya, MDLF tidak pernah menyentuh kebebasan malaysiakini walaupun ia mempunyai 29 peratus ekuti dalam syarikat tersebut, melalui memorandum persefahaman di mana pihak pelabur telah memberi jaminan bertulis tidak akan campurtangan dalam dasar editorialnya.

