Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nik Abduh: Saya protes dalam duduk
Diterbitkan:  Oct 26, 2015 11:12 AM
Dikemaskini: 3:45 AM

Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz mempertahankan tindakannya yang tidak berdiri bagi menunjukkan protes terhadap Belanjawan 2016 yang dibentangkan di Parlimen Jumaat lalu.

Menurut ketua pemuda PAS itu, walaupun tidak berdiri namun beliau tetap menunjukkan protes terhadap belanjawan yang disifatkannya sebagai 'bajet panadol'.

"Saya protes (terhadap) BN dalam duduk, berdiri dan dalam rebah pun. Saya tak perlu bersama atau sama dengan sesiapa untuk menentang pengkhianat. Saya hanya perlu bersama rakyat selepas Allah," kata Nik Abduh di dalam Facebook.

Selain itu, anak kepada bekas mursyidul am PAS ini juga berkata, beliau memilih untuk duduk berbanding berdiri kerana pihak kerajaan ketika itu bangun dan mengangkat buku belanjawan itu untuk menunjukkan sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang membentangkan belanjawan.

"Saya pun duduk, protes 'bajet panadol' yang tidak akan berjaya," katanya lagi.

Nik Abduh berkata demikian selepas didesak memberikan penjelasan mengapa beliau tidak menyertai ahli parlimen pembangkang yang lain untuk berdiri dan memegang plakad bertulis 'Mana RM2.6 bilion?'

Bagaimanapun beberapa ahli parlimen PAS dilihat memegang sepanduk itu, termasuk Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff.

Lihat Komen
ADS