K'jaan tak akan salah guna Kanun Keseksaan
Putrajaya berkata, tiada salah guna kuasa akan berlaku dalam pendakwaan dan siasatan terhadap kes-kes berkaitan mengugat demokrasi berparlimen, sabotaj dan espionaj.
Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, perkara tersebut tidak akan berlaku memandangkan pihak yang tertuduh di bawah Seksyen 124B hingga 124N Kanun Keseksaan akan dibela dan dijamin kerana kes mereka akan dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan.
Selain itu, menteri dalam negeri itu juga memberitahu sebanyak tujuh orang kini disiasat di bawah seksyen tersebut yang melibatkan 10 kes dan dua orang telah didakwa.
"Bilangan mereka yang disiasat di bawah Seksyen 124B hingga 124N Kanun Keseksaan iaitu kesalahan yang berkaitan dengan menggugat demokrasi berparlimen, sabotaj, espionaj adalah seramai tujuh orang yang melibatkan 10 kes manakala dua orang sahaja yang telah dituduh.
"Dalam hal ini, saya tidak bercadang untuk mendedahkan maklumat lanjut berkenaan dengan perkara ini memandangkan ada diantara kes-kes ini masih lagi di dalam siasatan pihak polis dan ada sedang dalam prosiding perbicaraan," kata Zahid dalam jawapan bertulis menjawab soalan Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patang) di Parlimen hari ini.
Dalam soalannya, Kit Siang meminta Zahid menyatakan senarai penuh nama orang yang sedang disiasat dan didakwa di bawah Seksyen 124B hingga 124N Kanun Keseksaan serta tindakan yang telah diambil untuk memastikan tiada penyalahgunaan kuasa dalam penggunaan seksyen tersebut.
Selain itu, ahli parlimen Bagan Datoh itu juga mempertahankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan mengatakan bahawa definisi yang jelas mengenai pindaan Kanun Keseksaan telah diberikan bagi memastikan pihak berkuasa dapat melakasanakan tugas dengan lebih tepat.
"Mengenai andaian penyalahgunaan kuasa yang dibangkitkan oleh Gelang Patah berkaitan seksyen-seksyen yang terlibat pada undang-undang tersebut, ingin ditegaskan bahwa definisi yang jelas telah diberikan dalam pindaan kepada Kanun Keseksaan.
"Oleh itu pihak PDRM dapat melaksanakan tugas berdasarkan undang-undang tersebut dengan lebih tepat manakala kes-kes yang terlibat akan tetap dibawa ke Mahkamah untuk dibicarakan.
"Dalam apa cara sekalipun tiada sebarang penyalahgunaan kuasa akan berlaku dan pembelaan serta hak kepada tertuduh adalah terjamin," katanya lagi.
Sebelum ini, pihak polis telah memulakan siasatan di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan bagi menyiasat pihak yang didakwa memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan 1MDB.
Ahli politik, peguam, pihak media dan aktivis telah disiasat di bawah peruntukan seksyen ini yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun jika sabit kesalahan.
Bekas ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang pula didakwa kerana cuba mensabotaj sistem perbankan negara dan perkhidmatan kewangan di bawah Seksyen 124L Kanun keseksaan.

