Kerajaan hari ini menjelaskan bahawa suntikan modal RM20 bilion ke dalam pasaran saham melalui cabang pelaburannya ValueCap Sdn Bhd tidak dijamin, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

"Dana ini tidak akan diperolehi dari pihak kerajaan dan tidak akan dijamin sama sekali oleh pihak kerajaan," katanya.

Katanya, ValueCap dianggotai oleh pengurus pelaburan profesional yang mempunyai rekod prestasi yang cemerlang bagi memastikan objektif pemegang sahamnya tercapai.

ValueCap dimiliki oleh Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan Permodalan Nasional Berhad. Firma itu ditubuhkan mengikut Akta Syarikat 1965 pada tahun 2002 tetapi telah dihidupkan semula dengan mandat diperbaharui pada September lalu untuk menyokong pasaran.

Abdul Wahid juga menjelaskan bahawa pelaburan ValueCap tidak mempunyai sebarang agenda membantu bumiputera.

"Dana yang dilaburkan tidak bertujuan untuk membantu mana-mana syarikat, sama ada bumiputera atau bukan bumiputera.

“Pelaburan adalah berpandukan falsafah pelaburan berjangka panjang dan tidak semata-mata untuk jangka pendek. Ia berasaskan penilaian terperinci dan rapi terhadap prestasi kewangan saham-saham syarikat dan tidak terhadap kepada mana-mana syarikat terentu.”

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis parlimen pada Khamis lalu kepada soalan Khalid Abdul Samad (Amanah-Shah Alam).

Abdul wahid juga berkata pelaburan ValueCap adalah merangkumi saham-saham syarikat di sektor perbankan, industri pengguna, perkhidmatan, pembinaan, perladangan dan hartanah.

"Pemilihan saham juga tidak berdasarkan sentimen dan spekulasi, sebaliknya penekanan diberikan ke atas syarikat yang mempunyai rekod perolehan yang kukuh an konsisten, aliran tunai yang stabil," katanya.

[Baca berita penuh]