Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Buruh kontrak mati ditikam gara-gara selipar
Diterbitkan:  Oct 26, 2015 4:19 PM
Dikemaskini: 8:21 AM

Seorang pekerja buruh kontrak warga Indonesia maut ditikam anak saudaranya, gara-gara menegur selipar yang dipakai suspek terpijak tahi anjing di kawasan rumah setinggan, Jalan Kebun Teh Lama, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata Sahral Asmara, 56, yang juga berstatus penduduk tetap ditikam pada pukul 7.40 malam di rumahnya.

"Sebelum kejadian, mangsa dikatakan bertengkar dengan suspek mengenai perkara itu. Suspek yang tidak puas hati lalu meluru masuk ke dalam rumah dan keluar semula dengan pisau lapan inci sebelum menikam mangsa di bahagian kanan pinggang," katanya.

Sulaiman berkata mangsa kemudiannya sempat keluar dari rumah dan meminta tolong jiran-jirannya sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan.

Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan, kata Sulaiman lagi.

Sulaiman berkata pihaknya kini giat melakukan usaha untuk menjejaki suspek utama yang juga warga Indonesia, berumur dalam lingkungan 42 tahun, yang melarikan diri sejurus kejadian.

Beliau meminta saksi dan orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Daerah Johor Baharu Selatan di 07-2218999.

Kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS