Sepasang suami isteri maut apabila kereta yang dipandu suami jatuh menjunam selepas dipercayai melanggar tembok di tempat letak kereta di tingkat lima sebuah bangunan di Taman Duta di Kuala Lumpur, malam semalam.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur S. Markandan berkata dalam kejadian kira-kira pukul 8.13 malam itu, kereta Perodua Kenari itu terjatuh di atas pagar besi kawasan bangunan itu.

Katanya, Paul William Nunis, 71, pesara Telekom Malaysia dan isterinya Mary Nunis nee Rodrigues, 71, pesara Tenaga National Berhad maut di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati suami isteri berkenaan hadir satu majlis reunion di tempat berkenaan.

“Kereta berkenaan dipercayai telah hilang kawalan dan terus melanggar tembok bangunan tempat letak kereta,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata kemalangan itu menyebabkan kereta dipandu mangsa jatuh dalam keadaan terbalik manakala tiang pagar telah menembusi bahagian dalam kereta.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat,” katanya.

- Bernama