Apa yang sepatutnya merupakan majlis perbincangan mengenai perpaduan di TV1 malam tadi, telah bertukar menjadi medan 'perdebatan politik' antara Umno dengan PAS.

Wakil Umno dan PAS dijemput menjadi anggota panel untuk berbincang mengenai tajuk "Organisasi politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) sebagai ejen perpaduan".

Program tersebut, anjuran Kementerian Penerangan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Perdana Menteri, dihadiri lebih 400 orang

The Barisan Nasional diwakili oleh Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Annuar Musa dan Ahli Parlimen MCA dari Ayer Itam, Dr Wee Ka Siong. PAS pula diwakili oleh ahli Jawatankuasa Pusat parti itu, Mahfuz Omar.

Seorang lagi ahli penal ialah Pesuruhjaya Suhakam, Datuk N Siva Subramaniam, manakala perbincangan tersebut dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Johan Jaafar.

Budaya takut

Menurut laporan Bernama , perdebatan menjadi hangat apabila Wee menyentuh soal ekstremism dalam agama yang menurutnya boleh memecah-belahkan masyarakat.

Pendapatnya itu disokong oleh Annuar dengan berkata: "Problemnya bukan soal agama, problem orang nak peralat agama".

Annuar berkata, Umno menggunakan prinsip perpaduan seperti yang dituntut oleh agama tetapi katanya, yang menjadi masalah ialah apabila ada pihak menggunakan agama dan tidak konsisten.

Mahfuz terus mencelah dan mendakwa bahawa pembangkang sering dilabel dengan label tidak baik, dan keadaan ini menurutnya membentuk suatu budaya takut dan negatif kepada pembangkang di kalangan masyarakat.

Menurut Mahfuz, keadaan itu berlaku kerana tindakan segelintir pihak yang terlalu ekstrim dan laporan media yang tidak tepat.

Mahfuz juga berkata PAS bersedia berinteraksi dengan semua pihak dalam soal perpaduan kerana Islam sememangnya adalah agama perpaduan.

"Kita harus faham erti perpaduan bukan sekadar perhimpunan atau perkumpulan, semata-mata tetapi penghayatan bagaimana menghormati perbezaan pendapat dalam masyarakat setempat, bukan sahaja agama atau kaum tetapi perbezaan ideologi politik juga harus diterima," katanya.