Semenjak 15 tahun lalu sepanjang jalan Tengku Kelana, Klang menjadi tumpuan masyarakat India mendapatkan keperluan untuk menyambut pesta cahaya Deepavali.

Namun, perpindahan tapak perniagaan sementara itu dari Jalan Tengku Kelana ke Jalan Tingkat - selang satu lorong di belakangnya - mungkin menjadikan kemeriahannya sedikit muram.

Ini kerana peniaga di blok kedai Jalan Tingkat tidak senang dengan susun atur khemah peniaga bazar di situ.

Peniaga di blok itu mendakwa pembinaan tiga baris lorong bazar di depan kedai mereka mengganggu lalu lintas, sekali gus menjejaskan perniagaan.

"Tiga khemah bazar dipasang sepanjang laluan di sini sehingga kereta tidak boleh keluar masuk.

“Dan disebabkan perkara ini saya mengalami kerugian yang banyak," kata peruncit Samy Nantharajan ( gambar ) ketika ditemui Malaysiakini .

Bazar Jalan Tingkat dijadual mula beroperasi hari ini sehingga 9 November antara 5 petang hingga jam 1 pagi.

Perayaan Deepavali disambut pada 10 November.

Bunga Kamala rosak

Sementara itu, peniaga bunga segar di lot kedai itu Kamala Chelame Kandasany, 60, mengeluh hasil jualannya berkurangan dan bunga simpanannya pula rosak.

"Jalan di sini (Jalan Tingkat) penuh dengan khemah macam mana orang mahu datang kedai saya beli bunga?

“Bunga saya habis rosak," kata Kamala ( gambar ).

Air matanya kelihatan bergenang ketika diwawancara Malaysiakini .

Sementara itu, peniaga bazar pula enggan berpindah kerana lokasi baru itu lebih sempit dan menyukarkan pelanggan membeli-belah.

Tinjauan Malaysiakini mendapati tiga baris khemah berniaga didirikan di atas jalan raya di Jalan Tingkat sehingga kenderaan selain basikal dan motosikal tidak dapat lalulalang.

Ramesh Muniandy, 42, yang telah berniaga lebih 15 tahun di Jalan Tengku Kelana ketika ditemui melepaskan kemarahannya kepada kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) susulan perpindahan tapak itu.

"Sepuluh kali nak buat rayuan ke baru nak bagi kebenaran berniaga di Jalan Tengku Kelana?

"Wakil rakyat Selangor pun tak ada datang, lorong di Jalan Tingkat ini sempit macam mana nak meniaga?" soal Ramesh kepada Malaysiakini sebelum berlalu dengan marah.

Selain itu, menurut seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Ram, 43, mendakwa kaum India di negara seperti "dibodohkan" apabila tiada pihak yang bangkit membela nasib mereka.

"Kaum India dibodohkan di Malaysia. Kami hanya nak meniaga. Barang sudah beli, duit modal pun sudah habis tapi masih tak boleh meniaga macam mana?” keluh peniaga seluar jeans itu.

Sementara itu, seorang ahli MPK Sukumaran A Sundram ketika dihubungi Malaysiakini berkata apa yang berlaku itu bukan isu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut sementara menunggu kenyataan MPK yang dijangkanya akan dibuat beberapa hari ini.