Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) mahu masyarakat antarabangsa segera menghidupkan semula proses damai bagi menamatkan konflik Palestin-Israel yang sudah lama tertangguh.

Menurut Bernama, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga pengerusi NAM menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa mempunyai peranan bersama dalam mencari penyelesaian terhadap isu Palestin.

"Yang jelas, penyelesaian tidak boleh dilakukan menggunakan ketenteraan. Keganasan dan ugutan tidak akan memberi kelebihan kepada mana-mana pihak," kata Abdullah dalam perutusannya sempena Hari Perpaduan Antarabangsa dengan Rakyat Palestin semalam.

"Satu usaha baru di pihak yang berkonflik untuk memulihkan proses politik di meja rundingan sangat diperlukan segera. Kunci kepada penyelesaian yang adil dan berpanjangan bergantung kepada kesediaan Israel bagi menamatkan pendudukan di tanah Arab.

"Dan pemulangan hak sebenar rakyat Palestin untuk mentadbir negara sendiri, bebas dan merdeka untuk pulang ke rumah dan harta benda masing-masing," kata Abdullah dalam mesej yang difakskan kepada Wisma Putra.

Abdullah berkata NAM akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa terutama negara Quartet yang membabitkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU), Rusia dan Amerika Syarikat dalam menyelesaikan krisis di Asia Barat.

Mencapai keamanan

"Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sedia memainkan peranan penting ke arah memastikan keadilan dan keamanan menyeluruh dan berkekalan serta hak rakyat Palestin mengikut undang-undang terlaksana.

"Begitu juga dengan negara Quartet lain - Kesatuan Eropah, Rusia dan Amerika Syarikat, wajar memainkan peranan masing-masing dan merebut peluang untuk menghidupkan semula Pelan Damai ke arah mencapai keamanan," kata Abdullah.

Hari Perpaduan itu disambut 19 hari selepas kematian Presiden Palestin Yasser Arafat yang berjuang hampir 50 tahun untuk mewujudkan sebuah negara untuk rakyat Palestin yang terpaksa berpindah daripada tanah air mereka sendiri.

Menurut Abdullah, kematian Arafat patut menggerakkan setiap rakyat Palestin untuk menyelesaikan perjuangan yang boleh menjurus kepada memenuhi impian dan aspirasi setiap rakyat.

"Malang sekali Presiden Arafat tidak hidup lebih lama untuk melihat hasil perjuangannya untuk menubuhkan negara Palestin yang bebas," katanya.

NAM juga menggesa Israel memastikan situasi kemanusiaan dan keadaan sosio-ekonomi di Wilayah Palestin Yang Diduduki tidak menjadi semakin buruk.

Hidup berjiran

"Bersama-sama dengan pemimpin lain dalam NAM, saya terus berharap aspirasi rakyat Palestin untuk menubuhkan negara Palestin yang bebas dan merdeka dengan Baitulmuqadis Timur sebagai ibu negeri, tercapai.

"Wujud sebelah-menyebelah dengan Israel dan dengan jiran yang lain, dalam keadaan selamat dan sempadan yang diperakui akan berhasil pada 2005 seperti yang digariskan dalam Pelan Damai," kata Abdullah.

Abdullah juga berkata NAM menyambut baik pelantikan Rawhi Fattouh sebagai Presiden sementara Pihak Berkuasa Palestin, Ahmad Qureia sebagai Perdana Menteri dan Mahmoud Abbas sebagai pengerusi Pertubuhan Pembebasan Palestin yang baru.

Pergerakan itu juga menyambut baik pilihan raya presiden Palestin yang ditetapkan pada 9 Januari 2005 dan berharap ia dapat diadakan dalam persekitaran yang aman dan selamat.

"Pilihanraya itu akan menyediakan keadaan dan momentum baru untuk rakyat Palestin mewujudkan keamanan menyeluruh dan berkekalan serta keadilan di kawasan berkenaan, kata Abdullah.