Soalan balak Kelantan di dewan akan berlalu saja?
Wakil Salor Datuk Husam Musa telah pun mempersiapkan soalan untuk sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Isnin depan untuk dijawab Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.
Namun oleh kerana kesuntukan masa termasuk kekangan sidang peraturan dewan, Husam bimbang soalannya berkaitan isu balak negeri tidak sempat dijawab oleh Ahmad.
Berhubung soalan spontan pula, bekas exco Kelantan itu juga kelihatan ragu.
“Mengenai janji SUA (setiausaha akhbar) MB bahawa semua soalan akan dijawab dalam sidang ini, saya masih tertanya-tanya, adakah kerajaan akan menentukan satu-satu tajuk lalu bersedia dengan apa jua soalan spontan untuk dijawab?
“Rasanya tidak begitu,” kata Husam yang kerap membangkitkan isu sekitar kontroversi pembalakan negeri.
Setiausaha akhbar menteri besar Mohd Asri Mat Daud dilapor berkata segala isu berkaitan negeri termasuk perkara dibangkitkan Husam akan dijawab pada persidangan DUN yang akan bermula Isnin depan.
Husam, bekas naib presiden PAS, telah menghantar maksimum lima soalan bertulis.
Husam sebelum ini lantang mendedahkan beberapa tindakan kerajaan negeri hari ini yang disifatkannya tidak wajar dan menyimpang dari konsep ketelusan.
Beliau juga menuntut kerajaan negeri tidak meluluskan permohonan sebuah syarikat untuk menebang kawasan seluas 1,400 hektar di hutan simpan Kekal Ulu Sat di Machang.
Sementara itu, menulis di Facebook, beliau berkata anggota DUN (ADUN) tetap berhak membangkitkan soalan sama di luar sidang.
“Tidak ada peraturan bahawa ADUN hanya boleh bertanya di DUN,” kata Husam.
“Apa lagi dengan konsep mas'uliyyah/accountability (rasa tanggungjawab) - setiap ADUN mempunyai tanggungjawab dunia akhirat atas apa jua isu berkerajaan dalam rangka menjaga amanah dan maslahah pemerintahan,” katanya.
Semalam seorang pengundi luar Kelantan Mohd Afiq Ayob membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan rasuah lebih RM5 juta berkaitan kegiatan pembalakan melibatkan seorang pemimpin negeri.
Ahmad pula berkata, Kelantan sedia memberi kerjasama kepada SPRM bagi menyiasat dakwaan berlaku rasuah membabitkan pemimpin kerajaan negeri itu.
Sidang Dun: NOTIS Soalan Dari SayaSikap demokratik YAB MB Kelantan sangat saya alu-kan.Melalui kenyataan akhbar...
Posted by Dato Haji Husam Musa on Wednesday, 28 October 2015

