Misteri penganjur demo 'baju hitam' vape di Putrajaya
Masih menjadi misteri siapakah di sebalik penganjuran himpunan membantah cadangan pengharaman rokok elektronik atau 'vape' di Kementerian Kesihatan, Putrajaya 4 November depan.
Sehingga kini tiada pihak mengaku menganjurkan acara tersebut. Malah persatuan perokok elektronik juga tidak tahu menahu rancangan itu.
Presiden Persatuan Vaporizr Elektronik dan Alternatif Tembakau Malaysia (MEVTA) Allan Foo juga berkata, semakan mereka dengan sebuah lagi persatuan juga mendapat jawapan sama.
Hanya dua persatuan perokok vapor berdaftar di Malaysia iaitu MEVTA dan Organisasi Rokok Elektronik Entiti Malaysia (MOVE).
“Semua orang tidak tahu siapa yang anjurkan,” katanya yang turut menerima maklumat yang disebarkan itu.
Sementara itu, rancangan itu tersebar dalam pesanan WhatsApp yang tersebar sejak malam tadi.
Ia dikatakan mahu mengumpulkan 200,000 pengguna rokok elektronik di seluruh negara untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada kerajaan yang sedang mengkaji cadangan pengharaman vape.
Bertemakan pakaian hitam, peserta diminta berkumpul di Padang Ragbi bersebelahan Pusat Membeli Belah Alamanda Putrajaya.
“Sila sebarkan mesej ini demi masa depan 'vapescene' di Malaysia. Semoga himpunan aman ini berjalan lancar,” menurut pesanan itu.
Dalam perkembangan berkaitan pengusaha vape dan anggota Parlimen Belia Ridhwan Rosli menyelar penyebaran maklumat itu.
“Himpunan adalah perkara yang kurang wajar. Ini akan menimbulkan kemarahan awam,” katanya kepada Malaysiakini .
Vape kini menjadi menjadi fenomena di seluruh segara terutamanya selepas harga rokok mencatat harga tinggi melebihi RM10 sekotak.
Selain itu, terdapat juga kepercayaan bahawa ia kurang berbahaya di berbanding rokok biasa, yang menjadikannya sebuah alternatif, selain kos lebih murah.
Dakwaan ini bagaimanapun masih diperdebatkan.
Laporan tambahan SHAKIRA BUANG.

