Dalam wawancaranya dengan malaysiakini, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu apa yang patut dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi jika beliau mahu kekal memimpin Umno.

Malaysiakini: Kini kelihatan 'perpecahan' yang jelas dalam Umno, antara penyokong Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan mereka yang dikaitkan dengan bekas Presiden Tun Dr Mahathir Mohamad. Dalam pemilihan parti baru-baru ini, Abdullah gagal 'memahatkan' kuasanya dalam Umno. Adalah sudah terlambat untuk beliau berbuat demikan?

Anwar: Saya rasa perpecahan itu benar-benar berlaku dan telah sampai ke peringkat di mana ia menimbulkan rasa tidak puashati (dalam parti). Sungutan peribadi antara pemimpin parti juga telah menjadi pengetahuan umum. Tetapi saya masih percaya, oleh kerana struktur feudal dalam parti, Perdana Menteri Abdullah boleh mengatasinya. Tetapi ia bergantung kepada apa yang beliau lakukan.

Saya rasa beliau mesti lebih tegas dan mesti menunjukkan dengan jelas kepada ahli-ahli Umno dan peringkat akar umbi kewibawaannya dalam usaha membasmikan masalah dan penyakit yang dikaitkan dengan parti dan kerajaan. Pada masa ini, adakah beliau sudah bersedia untuk melakukan apa yang beliau kata mahu dilakukannya? Ini soalan utama, tetapi beliau kelihatan seperti tidak tegas (membuat keputusan).

Dalam Pemilihan Umno lalu, ramai orang Abdullah tewas manakala orang Mahathir berjaya mengukuhkan kedudukan mereka (dalam parti). Apakah Abdullah sudah kehilangan peluang (untuk menguasai parti).

Tidak, beliau masih mempunyai masa kerana kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan presiden parti. Tetapi perlantikan yang beliau buat, malangnya, tidak konsisten dengan pengumumannya (sebelum ini) untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih, melancarkan kempen membasmi rasuah kerana mereka yang tercemar imejnya dengan rasuah, telah dilantik semula.

Dan saya rasa beliau terpaksa berbuat demikian (memilih pemimpin yang tercemar) sebagai satu gerakan politik kerana beliau masih boleh memilih mereka yang dikenali dan berpengaruh dalam pentadbiran parti dan kerajaan.

Pada pandangan saya, beliau terpaksa melakukannya untuk 'survival' dirinya sendiri. Jika beliau tidak berbuat demikian dalam beberapa bulan akan datang, saya tidak melihat terdapatnya jalan mudah untuk beliau. Tetapi jika beliau berbuat demikian, ia akan memberi isyarat bahawa ada orang lain yang berkuasa. Saya pernah menjadi seorang Timbalan Perdana Menteri yang kuat, tetapi dalam membuat keputusan, ia adalah di tangan perdana menteri. Begitulah sistemnya beroperasi.

Menurut Datuk Seri , kita perlu membantu Abdullah menentang rasuah. Bagaimana kita boleh membantu?

Pihak media tanpa mengambil kira malaysiakini, Harakah, Seruan Keadilan tidak membantu. Ini kerana sesetengah daripada mereka yang mengendalikan media berkenaan, nampaknya gemar untuk mengawal, lebih daripada apa yang dilakukan Kementerian Dalam Negeri sendiri. Dan sikap pemikiran yang tidak liberal pastinya juga tidak akan membantu.

Apa yang mereka (media) patut lakukan ialah mendedahkan penyakit dan perbuatan rasuah yang dapat menentukan arahtuju politik negara dan juga menjadi rasional kepada tindakan yang diambil oleh Abdullah. Oleh itu, tanpa media, saya tidak fikir ianya dapat membantu. Tetapi negara ini penuh dengan percanggahan/kontradiksi.

Ketika Datuk Seri berkuasa, Datuk Seri juga dituduh mengawal pihak media. Jadi patutkah Datuk Seri merasa terperanjat keadaan yang sama masih lagi wujud sekarang ini?

Ketika itu kita berdepan dengan pemerintahan authoritarian. Tetapi kini kita berdepan dengan seorang pemimpin yang sedia bertolak-ansur dan mudah berpuas hati dan tidad mahu dilihat sebagai seorang yang tidak adil dan tidak berhati perut. Jadi anda perlu membuat keputusan. (Jika) anda tidak mahu dilihat sebagai tidak adil dan berhati perut, (ini bermakna), anda kena menjadi adil dan memberi sedikit kebebasan kepada pihak media. Tetapi ini tidak berlaku.

Berdasarkan perbualan terhad saya dengan kakitangan kerajaan dan masyarakat umum, malah dengan pemimpin pembangkang dan para penyokong, mereka masih berpendapat yang Abdullah perlu diberi sedikit lagi masa. Anda tahu, masyarakat begitu baik sekali (kepada Abdullah) dan saya rasa tidak banyak pemimpin politik yang diberi peluang sedemikian, sepertimana yang mereka berikan kepada Abdullah, sebahagiannya kerana personalitinya.

Tetapi beliau tidak boleh ambil mudah dan bergantung kepada pandangan segelintir penyokongnya (sahaja), yang ada antaranya tidak mempunyai pengalaman. Beliau patut mendengar pandangan daripada mereka yang lebih ramai.

Saya masih optimistik kerana saya rasa, saya faham mengenai parti ini dan bagaimana ia beroperasi, terutamanya diperingkat akar umbi. Pemimpin yang rasuah dan 'warlord" boleh menekan PM, tetapi mereka juga takut, teramat takut...kepada pesepsi intrumen kerajaan dan masyarakat umum.

Ianya tidak boleh dianggap berniat jahat jika anda memberi fakta mengenai mereka yang terbabit dalam rasuah dan jenayah lain. Itulah yang Abdullah patut lakukan. Tetapi sikap terhadap media dan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) masih belum berubah. Apa yang yang katakan ialah beliau mempunyai kemampuan untuk melakukannya jika beliau mahu berbuat demikian, yang kini amat penting bagi survival dirinya sendiri.

Jadi, apa yang perlu dilakukannya?

Sepertimana yang saya telah katakan, walaupun sepintas lalu kepada beliau: "Anda melakukan perkara yang betul". Perkara betul itu dicerminkan daripada pengumuman yang telah dibuatnya. Teruskannya. Saya tidak rasa ianya begitu sukar (dilakukan).

Tetapi bagaimana hendak beliau teruskan?

Jika beliau bandingkan dengan kedudukan sebelum ini bagaimana berkuasapun saya sebagai TPM anda masih mempunyai ketua. Apakah yang boleh menghalang perdana menteri bertemu dengan pengarang, dan (jika beliau) mahu memberi kebebasan kepada media, beliau boleh berkata kepada mereka: "Anda diberi kebebasan berhubung isu-isu rasuah, proses demokrasi, suara pembangkang kerana saya telah memberitahu orang ramai bahawa kita mesti melakukan perubahan seperti itu." Apa yang sukarnya (melakukannya)?

Beliau juga boleh memanggil Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan berkata: "Buat siasatan dengan sempurna'. Saya tidak percaya PM Abdullah akan melakukan sesuatu drastik kerana itu bukan pembawakannya (untuk berbuat demikian), tetapi sekurang-kurangnya berilah sesuatu yang memperlihatkan kuasa dan kewibawaan kepada BPR. Anda telah melantik orang yang paling lemah untuk mengendalikan badan itu, tetapi (pada masa yang sama), anda bercakap mengenai pembanterasan rasuah. Ianya tidak akan berjaya.

Sebelum ini bagaimana sukar dan terbatas pun kita mempunyai beberapa Ketua Pengarah BPR yang kuat. Tetapi di bawah (pentadbiran) Dr Mahathir, mereka menghadapi masalah. Ketika itu, saya mengenali Tan Sri Zulkifli (Mahmood) dan kemudiannya Datuk Shafie (Yahya) yang menjalankan siasatan. Kemudiannya apabila Mahathir berkata berhenti, mereka berhenti. Tetapi mereka teruskan siasatan dan apabila mereka melakukannya, mereka melakukan sedaya upaya mereka. Begitu jugalah siasatan mereka terhadap Tan Sri Ali (Abul Hassan) dari EPU (Unit Perancang Ekonomi). Tidak siapa yang berani menyentuhnya, tetapi BPR telah melakukannya.

Saya menjadi sasaran kerana rakan-rakan Mahathir menjangka, dengan siasatan terhadap EPU and (bekas pengerusi Perwaja) Eric Chia, ia sudah cukup untuk menjatuhkan Mahathir. Tetapi hakikatnya ialah biar saya memberitahu anda bahawa saya tidak memainkan sebarang peranan dan saya tidak pernah menggalakkan mereka (BPR melakukan siasatan).

Saya hanya berkata: "Shafie, awak jalankan tugas awak. Saya tidak mahu diberitahu mengenainya. Beliau hanya memberitahu saya selepas membuat serbuan ke pejabat EPU. Pada masa ini, saya sedang berada di Pulau Pinang, mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan Umno negeri Abdullah pun ada sama. Apabila beliau (Shafie) memberitahu perkara itu kepada saya, saya berkata: "Tuhanku! Sudah anda beritahu perdana menteri?'. Beliau berkata, "Belum, saya memberitahu Datuk Seri terlebih dahulu sebelum menemuinya'. Dan saya kata, 'Beritahu beliau."

Sudah tentu, saya menggalakan tindakan-tindakan diambil tetapi saya tidak pernah secara khusus memberitahu siapa (yang perlu disiasat). Semua surat saya menerima beratus-ratus aduan saya serahkan kepada KP, dengan nota, BPR, sila teliti. Itulah saya rasa patut dilakukan, jadi ia tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang berkaitan dengan politik.

Abdullah telah membuat pengumuman positif tetapi tidak mempunyai orang yang cukup di dalam parti untuk menyokongnya.

Ianya kerana beliau tidak melantik orang yang betul. Pada masa Mahathir, beliau membuat perlantikan. Bukan semuanya, naib presiden atau ahli penting Majlis Tertinggi. Abdullah menunggu setahun! Beliau sepatut melakukannya (perlantikan), lantik orang yang betul yang juga mempunyai karismatik, kredibiliti dan saya pasti dan positif mereka akan berjaya dalam pemilihan ahli Majlis Tertinggi. Saya positif mengenainya!

Ya, politik wang akan berleluasa tetapi anda boleh lihat sejak tahun-tahun kebelakangan ini, nampaknya, mereka yang cerdik yang baru ke depan, mendapat sokongan. Tetapi di sini, anda tidak ada mereka yang cerdik kerana mereka tidak pernah diberi peluang. Contohnya, beliau melantik menteri hal-ehwal agama beliau orang baik tetapi tidak karismatik. Jadi, (beliau) tidak mendapat sambutan, habis salah siapa?

Abdullah sudah lama terbabit dalam permainan ini. Beliau faham mengenainya. Tetapi saya rasa beliau menjadi tidak menentu kerana menerima nasihat yang berbeza daripada kumpulan yang berlainan.

Majlis Tertinggi (MT) Umno sekarang akan menghadapi pilihanraya umum akan datang kerana dijangka tiada pemilihan parti sebelum pilihanraya. Jadi, sama ada beliau suka atau tidak, merekalah yang akan bersamanya (menghadapi pilihanraya nanti).

Beliau terlepas satu peluang...peluang yang besar. Tetapi beliau masih mempunyai peluang dan masa. Tidak kira bagaimana sukar pun, beliau terpaksa melakukannya. Memang, ada tindakan yang diambil terhadap menteri kabinet atau ahli majlis tertinggi empat atau lima orang. Tetapi perjalanannya masih jauh dan beliau mesti menggantikan sesetengah menteri kabinetnya.

Secara peribadi, saya tidak fikir ada penentangan (dalam parti) jika beliau mengambil tindakan terhadap menteri-menteri yang rasuah. (Terdapat cakap-cakap) bahawa penentangan akan membawa kepada kejatuhan Umno dan BN...tetapi bukan atas alasan itu. Beliau juga perlu faham bahawa parti komponen BN terutamanya MCA, Gerakan, dan MIC tidak akan membantah kerana sepanjang sejarahnya, mereka akan menurut sahaja.

Tetapi sebelum ini terdapat penentangan (terhadap kepimpinan parti). Tidak tahu sama ada Pak Lah pasti tidak akan berlaku penentangan (seumpama itu)...

Ya, (penentangan itu) adalah terhadap Mahathir tetapi kerana sebab yang berbeza. Sekiranya berlaku penentangan dalam parti kerana prinsip tertentu, ianya merupakan sesuatu yang kita patut alu-alukan. Tetapi saya tidak percaya akan berlaku penentangan dalam parti, hanya kerana beliau membuat keputusan (mendakwa) berdasarkan penyiasatan BPR dan laporan daripada Peguam Negara.

Sudah tentulah, jika anda bercakap mengenai BPR dan Peguam Negara sekarang, mereka tidak akan membuat sebarang keputusan. Tetapi sekiranya mereka berbuat demikian, maka beliau (Abdullah) mesti bertindak. Saya tidak percaya beliau akan dicabar. Tidak, tidak dalam Umno.

Pada 1998, apabila Abdullah dilantik mengganti Datuk Seri sebagai TPM, anda menyifatkan beliau sebagai seorang pak turut dari kalangan pemimpin yang ada.

Ya, mereka (wartawan) bertanya kepada saya mengapa Pak Lah dipilih dan (saya kata), tentulah beliau seorang yang setia, yang paling berorientasikan perkhidmatan awam dalam kepimpinan negara. (Tetapi) beliau kini pemimpin tertinggi. Beliau seorang yang cukup bijaksana untuk memahami bahawa beliau sudah lama terbabit dalam politik, dan melalui jatuh-bangunnya dan tidak guna meratap mengenai kepahitan ketika beliau terkeluar (dari kerajaan). Hanya lakukanlah perkara yang betul.

Saya mendapati sukar untuk tidak bercakap mengenai orang yang tidak dapat melakukan perkara yang betul bila mereka berada dalam kedudukan untuk berbuat demikian. Di sini, anda memiliki majoriti mutlak, anda mendapat sokongan besar, anda mempunyai parti komponen yang menurut cakap. Ambil MIC, ianya tidak dalam kedudukan untuk mempersoal apa-apa kerana kepimpinan mereka sudah begitu tercemar. Jadi apa masalahnya?

Apakah pandangan anda mengenai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak?

Mengenai TPM...tentunya kedudukan beliau tidak setanding, dari segi perwatakan dan integriti sepertimana Abdullah dan saya rasa itulah pada umumnya, padangan ramai rakyat Malaysia. Beliau sudah tentunya bijaksana dan ada masanya bijak bercakap tetapi saya tidak melihat beliau mampu membuat pengumuman sepertima yang dibuat oleh Abdullah.

Mengapa?

Sebahagiannya kerana masalah yang dikaitkan (dengan beliau sendiri). Dari segi kenyataan, umpamanya mengenai pemisahan kuasa, pembasmian rasuah, kita belum lagi mendengar beliau bercakap mengenainya...sesuatu yang amat mendukacitakan. Tetapi saya tidak melihat sebab mengapa beliau patut menjadi faktor atau batu penghalang bagi Abdullah melakukan semua itu.

Saya teringat keresahan (mengenai isu) rang undang-undang BPR(sebelum diluluskan pada 1997). Terdapat bantahan daripada ramai menteri dan Mahathir menghubungi saya ketika beliau berada di London. Katanya: "Ada kawan-kawan yang memberitahu saya yang anda keterlaluan mengenai rang undang-undang tersebut. Cuba telitinya semula. Ramai tidak suka, dan mereka bimbang."

Lalu saya bertanya: "Peruntukan yang mana satu?' Dan beliau menjawab, "Saya tidak tahu tetapi mereka nampakny tidak senang. Boleh tak anda bercakap dengan mereka? Saya jawab: "Baiklah, Saya akan bangkitkannya dalam mesyuarat Kabinet akan datang."

Saya membangkitkannya dalam mesyuarat tersebut Keika itu, saya menjadi pemangku Perdana Menteri. Saya berkata ada di kalangan anda yang tidak sedang dan saya difahamkan peruntukan (yang tidak disenangi)itu ialah BPR masih boleh bertindak terhadap anda walaupun sudah lama berhenti berkhidmat. Saya memberitahu mereka, kecuali mereka terbabit dalam rasuah, jadi tidak ada apa yang perlu dibimbangkan. Saya memberi jaminan, sekiranya mereka tidak melakukan rasuah tidak ada apa yang perlu dibimbang.' Tentulah mereka tidak akan berkata apa-apa dan kami mendapat kelulusan (kabinet) terhadap rang undang-undang itu.

Perlulah Najib merasa tergugat dengan kehadiran Datuk Seri?

Najib sepatutnya menjalankan tugasnya dengan betul dan tidak seharusnya sepanjang masa merasa (kedudukannya) tergugat. Jalan tugas anda. OK, jika ada merasa tergugat, apakah pilihan yang ada? Adakah beliau merasa selamat jika Anwar berada di dalam penjara? Apa ini?

Dalam pilihanraya umum lalu, Ketua Pemuda Keadilan, Mohd Ezam Mohd Nor dipercayai diarahkan oleh Datuk Seri bertanding menentang Najib di Pekan walaupun beliau kemudiannya tidak berbuat demikian.

Sebagai seorang TPM, saya tidak pernah merasa tergugat jika ada orang yang hendak bertanding di Permatang Pauh (bekas kawasan Parlimennya yang kini diwakili oleh isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail). Nasihat saya kepada Najib, jalankan tugas anda secara betul.

Ketika Umno diisytiharkan haram, Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Semangat 46 (S46) yang disertai ramai penyokongnya. Tetapi kes Datuk Seri agak berbeza kerana hanya segelintir (penyokong) meninggal Umno manakala ramai lagi masih bersamanya (Umno). Adakah Datuk Seri merasa mereka masih menyokong Datuk Seri?

Ramai orang yang bertanya mengapa Tengku Razaleigh mampu membawa ramai penyokong untuk bersamanya (dalam S46).

(Bila saya keluar) saya yakin 20 ahli Majlis Tertinggi telah memberi komitmen penuh mereka. Tetapi bila saya ditangkap dan sebelum itu, setengah daripada mereka (ahli MT) turut ditangkap...ada yang disiasat oleh Cawangan Khas. Mereka menjadi takut. Saya bagi saya, jika bercakap mengenai pertadbiran yang baik, prinsip dan ideal, mereka tidak sepatutnya tunduk kepada tindakan seumpama itu. Ianya bukan tindakan yang baik. Tetapi itulah yang berlaku.

Tetapi saya tidak pernah kesal kerana saya dapat merasakan bahawa akar umbi ini baik dan menyokong (saya). Tetapi kita tidak ada jentera, kita tidak ada tenaga dan tentunya kami menghadapi banyak masalah dalam kepimpinan kerana ada yang ditahan, diugut selepas mereka kehilangan segala-galanya, tetapi saya optimistik bahawa perjuangan ini akan diteruskan.

Selepas Mahathir bersara menjadi Perdana Menteri, beliau telah dilantik menjadi penasihat syarikat milik kerajaan seperti Proton dan Petronas.

Dr Mahathir telah berkata apabila bersara, beliau akan bersara sepenuhnya. Saya terbaca di mana salah seorang anggota keluarganya berkata beliau mahu menumpukan kepada ibadat. Saya amat menyokongnya.

Kedudukannya dalam Petronas dan Proton tentunya tidak baik kerana beliau adalah bekas Perdana Menteri yang mempunyai pandangan yang tegas banyak kritikan berhubung cara wang Petronas dibelanjakan secara tidak bijak. Dan banyak lagi isu-isu mengenai Proton yang perlu diselesaikan. Adalah tidak bijak kerana ia akan menyebabkan usaha untuk membetulkan dasar-dasar, akan menjadi lebih komplek.

Pada 1993, ketika Datuk Seri bertanding menentang Timbalan Presiden Umno, Tun Ghafar Baba, Datuk Seri dituduh menggunakan politik wang untuk menang. Keadaannya kini menjadi semakin teruk.

Politik wang boleh dijadikan alasan oleh pihak yang kalah. Oleh itu, jika mereka hendak menuduh atau mengkritik, ia mestilah berasaskan kepada bukti yang kuat.

Tetapi akhir-akhir ini, politik wang telah merebak di dalam Umno sehingga semua perwakilan Umno tahu mengenainya. Dan dari apa yang saya diberitahu, ia seperti hujan wang! RM7,000, RM9,000, RM11,000, RM21,000 bagi setiap perwakilan. Saya telah bertemu ramai perwakialan yang pergi ke persidangan (Umno) yang mengakui menerima antara RM9,000 dan RM11,000.

Keadaan ini (politik wang) amat membimbangkan. Juga anda mempunyai pertubuhan yang rasuah dan ianya merebak, tetapi tiada apa yang dibuat untuk membanterasnya. Andawujudkan jawatankuasa dan jalankan siasatan terhadap mereka yang terbabit dalam operasi (politik wang) tersebut.

Perlukan BPR turut dibabit sama dalam membanteras politik wang dalam Umno?

Tentulah, itulah cara yang terbaik. Dan kita mesti memastikan BPR memahami sepenuhnya, kerana ada sesetengah pegawai BPR yang sama seperti sesetengah pengarang yang melakukan 'self-censorship' lebih teruk daripada Kementerian Dalam Negeri. Jika BPR tidak beri arahan yang jelas, mereka akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kerana mereka tidak pasti sama ada orang itu dan ini boleh disentuh atau tidak. Jadi mereka mesti diberitahu supaya menjalankan siasatan penuh dan dalam kes-kes di mana terdapat bukti yang nyata, tindakan mesti diambil serta-merta.

Apakah Datuk Seri akan kembali semula kepada Umno suatu hari nanti?

Saya tidak mahu dianggap sombong dan bongkak. Saya tidak memikirkan (menyertai semula Umno) dan saya tidak membuat sebarang permohonan. Saya tidak mahu diangap bongkak untuk mengecam parti itu kerana ramai ahli akar umbi yang begitu baik. Begitu juga (dengan mereka) di peringkat bahagian. Jadi, biarlah ianya begitu.

Saya tidak memberi sebarang petanda walaupun secara senyap-senyap yang saya berminat walaupun sedikit pun terhadap Umno, tetapi saya akan mengekalkan hubungan rapat dan bekerjasama dengan PM Abdullah.

Jika begitu, adakah Datuk Seri rasa adil untuk mana-mana pihak menggelar Datuk Seri sebagai pengkhianat?

Mereka (yang membuat tuduhan itu) adalah cicak mengkarung [gelak]. Tetapi saya diberitahu beliau (Ketua Pemuda Datuk Hishammuddin Hussein Onn) menggeletak apabila beliau berkata demikian, kerana kemudiannya ada orang bertanya 'bagaimana dengan Datuk Onn Jaffar, Hussein Onn dan Tengku Abdul Rahman?'

Adalah sukar bagi pihak pembangkang memenangi pilihanraya umum kerana kerajaan menguasai sepenuhnya terhadap 3M - wang, jentera dan media.

Kami semakin mendapat perhatian sekarang. Saya rasa kami tidak perlu terlalu bercita-cita tinggi. Kami perlu realistik. Tetapi kami perlu selalu mempunyai keyakinan dan kepercayaan terhadap kebijaksanaan rakyat Malaysia. Saya 'survive' kerana keyakinan tersebut.

Mereka berkata saya ini terlalu optimis tetapi selepas menemui ramai orang setelah saya dibebaskan, saya kini mempercayainya. Saya telah dikutuk dan dicerca selama enam tahun ini, tetapi mereka yang saya temui begitu baik kepada saya. Begitu baik sekali. Jadi jika saya boleh mengendalikan isu ini, mengapa tidak dengan isu-isu yang lain?

Saya dapat merasakan bahawa pada masa ini apabila saya tidak mempunyai pekerjaan, saya melihat lebih ramai datang ke majlis rumah terbuka di kediaman saya. Bila saya ke masjid ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dahulu, hanya dua tiga baris jemaah yang datang bersalam dengan saya. Tetapi kini selepas sembahyang, kesemua jemaah datang bersalam. Ini satu petanda baik kerana mereka tidak menganggap saya sebagai pembangkang yang radikal, perasuah dan peliwat. Ianya satu petanda yang baik dan mereka sedia mendengar.

Pilihanraya negeri Sarawak akan tiba tidak sampai dua tahun lagi dan dikatakan Datuk Seri juga perlu memainkan peranan di sana. BN negeri cukup kuat di sana dengan menguasa 61 daripada 62 kerusi negeri. Jadi apakah mesej Datuk Seri kepada rakyat Sarawak?

(Saya ingin memberitahu mereka) sudah cukuplah (pemerintahan Ketua Menteri Tan Sri) Taib (Mahmud)! Cukuplah tanah balak dibazirkan. Sarawak jauh di belakang Semenanjung Malaysia di segi pembangunannya. Terdapat begitu banyak masalah di Sarawak kemiskinan dan masalah perumahan. Saya berharap rakyat Sarawak akan membuat keputusan bijak dan membawa angin perubahan.

Apa lagi yang hendak diperkatakan? Keadaannya begitu menyedihkan. Mereka tidak sepatutnya membenarkan segelintir elit melakukan apa sahaja dan membazir sebanyak mana yang mereka mahu.

Datuk Seri kata kini menganggur. Apakah Datuk Seri sedang menjadi pekerjaan?

Ya. Semua ceramah saya...dan wawancara dengan malaysiakini (ketawa), dibayar. Contohnya, saya akan berlepas ke Afrika Selatan, Indonesia... Saya memberitahu mereka yang mereka tidak boleh mengharapkan saya membayar sendiri tambang dan kos penginapan saya (di sana). Pada masa yang sama, ramai kawan-kawan yang membantu. Contohnya, semasa rumah terbuka (hari raya) saya rasa belanjanya adalah antara RM50,000 dan RM10,000 tetapi ramai yang secara sukarela membiayai makanan dan minuman yang disediakan.

Saya rasa memang sukar untuk saya mendapatkan pekerjaan di Malaysia. Terdapat banyak tawaran oleh syarikat multinasional dari negara Arab, yang menawarkan saya jawatan seperti perunding dan penasihat. Saya belum membuat sebarang keputusan mengenainya, tetapi saya agak keberatan untuk membabitkan diri dengan syarikat-syarikat seperti itu. Tetapi saya telah memberitahu mereka, jika mereka mahu membantu, lakukannya dengan memberi sumbangan.

Tetapi bagi kebanyakan ceramah-ceramah itu, saya dibayar agak lumayan, sesuai dengan gayahidup saya (ketawa). Nasib baik semua suit saya masih ada termasuk baju batik.

Esok: Apakah PAS dan DAP dapat bekerjasama?