Dua bulan tanpa kepastian buat ayah Altantuya
Hampir dua bulan, keadaan masih tidak pasti sama ada kedutaan Malaysia di Australia berjaya memenuhi pindaan kenyataan tuntutan Setev Shaariibuu terhadap Sirul Azhar Umar, pesalah kes pembunuhan anaknya Altantuya.
Sirul kini ditahan di sebuah pusat tahanan imigresen di Sydney, Australia.
Peguam Setev, Sangeet Kaur Deo di Mahkamah Tinggi Shah Alam berkata kementerian luar negara sudah mengarahkan kedutaan pada awal September untuk menyampaikan dokumen berkaitan.
Katanya, perkara itu dinyatakan dalam sepucuk surat kementerian kepada firma guamannya.
“Kami sudah menulis kepada kedutaan Malaysia di Australia pada 6 Oktober mengingatkan mereka supaya menghantar (kenyataan Sirul) tetapi tiada jawapan atau perkembangan,” katanya kepada Malaysiakini.
Sangeet memberitahu timbalan pendaftar Azlinda Mohd Sharif berhubung perkara itu selepas pengurusan kes hari ini di mahkamah itu.
Pindaan kenyataan tuntutan itu difailkan susulan sabitan kesalahan terhadap Sirul dan bekas inspektor polis Azilah Hadri kerana membunuh Altantuya di sebuah hutan di Puncak Alam pada 2006.
Kedua-dua bekas anggota polis elit itu disabitkan bersalah pada 13 Januari tahun ini.
Azilah sekarang berada di penjara Kajang manakala Sirul pula berlepas ke luar negara setelah dibebaskan pada mulanya oleh Mahkamah Rayuan Ogos lalu.

