Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Surat MyKMU: Muhyiddin khianat Melayu, Umno, para sahabat
Diterbitkan:  Oct 30, 2015 12:44 PM
Dikemaskini: 4:52 AM

MyKMU, blog yang menyokong Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak memaparkan surat yang menggesa Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak mengkhianati orang Melayu, parti Umno, kerajaan dan para sahabat.

Penulis yang menggunakan nama Amin Yatim dari Petaling Jaya menujukan surat itu khusus kepada Muhyiddin.

Amin, penyumbang tetap kepada blog itu mempersoalkan kenyataan Muhyiddin yang mendakwa BN/Umno tidak boleh memenangi pilihan raya umum jika ia diadakan hari ini.

“Panglima perang apa yang mengumumkan kepada orang ramai dan bala tentera sendiri bahawa tidak akan menang perang? Muhyiddin khianat parti Umno dan BN," katanya.

Menurut Amin, Muhyiddin apabila dijemput merasmikan mesyuarat Umno bahagian, gagal menyemaikan semangat waja, bersatu dan bersedia berhadapan pilihan raya pada bila-bila masa kepada ahli-ahli parti.

Sebaliknya beliau datang seperti mahu bertanding jawatan presiden Umno dan menjahanamkan parti.

“Muhyiddin bukan sahaja memburukkan presiden parti, mempertikaikan cara kabinet menanganinya, malah mendedahkan perbualannya dengan rakan kabinet lain.

“Sungguhpun secara berlapik, tapi jelas membawa maksud 1MDB ini satu skandal besar,” katanya.

Amin berkata jika Muhyiddin ikhlas dalam perjuangan sudah tentu, beliau menerangkan supaya membuarkan pihak berkuasa menyiasat isu 1MDB bagi mencari kebenaran dan keadilan.

“Malangnya, Muhyiddin memilih untuk membelasah presiden kerana mahu menjadi hero. Muhyiddin khianat kepada kerajaan dan sahabat dalam kabinet,” katanya.

Beliau juga membidas Muhyiddin yang sebelum ini bersetuju dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno yang memutuskan untuk menunda pemilihan parti 2016.

“Jika Muhyiddin percaya Mohd Najib bersalah dalam skandal 1MDB mengapa bersetuju ditangguhkan pemilihan Umno? Bukankah Tan Sri sepatutnya meminta diadakan pemilihan supaya dapat bertanding dan membersihkan parti?” soalnya.

Amin berkata pemilihan Umno 2016 sepatutnya menjadi medan membersihkan parti jika benar ia sudah teruk seperti yang didakwa.

“Muhyiddin tidak pentingkan orang Melayu tetapi (sebaliknya) kedudukannya. Muhyiddin khianat kepada orang Melayu di bawah,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS