Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khutbah: Bajet 2016 sebahagian jihad ekonomi
Diterbitkan:  Oct 30, 2015 1:25 PM
Dikemaskini: 5:27 AM

Khutbah Jumaat di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memuji belanjawan 2016 yang dibentang minggu lepas sebagai sebahagian usaha “jihad ekonomi” yang dituntut Islam.

Mimbar juga menyebut belanjawan itu menunjukkan tumpuan serius kerajaan terhadap usaha mengukuhkan daya tahan ekonomi, mengurus kesan pendedahan luaran dan melindungi kebajikan rakyat.

“Dengan tema 'Mensejahterakan Ekonomi Rakyat', ramai penganalisis ekonomi menyifatkan bajet kali ini, sangat menyeluruh dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” menurut teks khutbah hari ini.

“Usaha ini juga merupakan sebahagian daripada elemen jihad ekonomi kerana mematuhi kehendak prinsip maqasid syariah dan konsep wasatiyyah (bersederhana) dalam konteks memelihara agama pada bidang ekonomi serta pembentukan jiwa dan akal masyarakatnya.”

Mengulas kepentingan jihad dalam bidang itu, khutbah juga berkata ia dituntut Islam kerana umat dan negara yang ekonominya baik mencerminkan imej dan status mereka sendiri.

“Mimbar yakin, ia mampu mengangkat taraf ekonomi individu itu sendiri dan secara tidak langsung berjaya mengangkat taraf ekonomi umat secara keseluruhannya,” menurut khutbah lagi.

Sementara itu, khutbah juga menegaskan agenda jihad ekonomi itu bukanlah terletak di atas bahu kerajaan semata-mata, tetapi juga rakyat biasa dan NGO.

Lihat Komen
ADS