1MDB: Arul Kanda batal syarat, sedia hadapi Pua
Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy hari ini menarik balik syarat yang dikenakan ke atas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua sekali gus bersedia untuk berdebat berhubung isu agensi pelaburan sarat hutang itu.
"Saya dengan ini menarik balik syarat saya untuk berdebat dengan Tony Pua. Saya akan berjumpa dengan dia tanpa syarat," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.
Pua ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen pada Rabu mencabar Arul Kanda supaya berhenti memberi "alasan bodoh" .
Sebaliknya, beliau mencabar Arul Kanda supaya berdebat dengannya dalam siaran langsung di televisyen.
Katanya, oleh kerana Arul Kanda kerap mempersenda dan membidasnya di media, sesi debat itu menjadi peluang terbaik bagi bos 1MDB berkeaan bagi menyatakan tuduhan berkenaan secara langsung.
Bagaimanapun Arul Kanda dalam kenyataan balasnya berkata, Pua perlu meletak jawatan daripada menganggotai Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAc) sebelum berdebat atas alasan bagi mengelak berlaku "konflik kepentingan".
Terima kasih menteri
Sementara itu, Pua yang dihubungi hari ini berkata beliau bersedia untuk bertemu dengan Arul Kanda.
"Ia sepatutnya sesi soal jawab dan tidak berdebat kerana saya bertanya soalan.
"Tiada apa-apa untuk dia (Arul) bertanya kepada saya," kata Pua kepada Malaysiakini .
Pua dalam kenyataanya kemudian, mengucapkan terima kasih kepada Arul kerana bersikap “gentleman” menerima cabarannya tanpa syarat.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak kerana menawarkan RTM sebagai penganjur kepada siaran langsung debat, walaupun sebelum cabaran diterima.
“Minggu depan kedua-dua pasukan akan bertemu bagi membincangkan tarikh, waktu dan format perbincangan itu,” kata Pua dalam kenyataan balasnya.
Pua berkata, beliau percaya pemenang sebenar daripada perbincangan itu adalah rakyat Malaysia yang kecewa dengan skandal menyelubungi 1MDB.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.