Selain Ahli Parlimen DAP Tony Pua, portal pro-Umno MyKMU.Net menamakan dua orang lain yang paling layak untuk berdebat dengan presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy.
Ia menamakan mereka sebagai Tun Dr Mahathir Mohamad dan dan timbalan perdana menteri yang dipecat Tan Sri Muhyiddin Yassin berdasarkan kelantangan mereka membidas syarikat pelaburan negara itu.
“Hanya dua orang lagi yang layak menjadi lawan Arul iaitu bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad. Hanya mereka berdua yang begitu tegar membuat pelbagai tuduhan ke atas 1MDB.
“Bersediakah Tun Mahathir tampil menyelamatkan maruah Tony Pua sebagai sebahagian solidariti kumpulan ahli politik anti-1MDB?,” soal blog itu.
Portal yang merupakan penyokong tegar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu juga mengkritik Pua kerana tidak akan berdebat walaupun beliau yang memulakan cabaran itu.
“Apabila Arul menyatakan beliau bersedia berdebat terbuka walaupun Pua tidak keluar dari PAC, Pua memberi syarat baru iaitu dalam perdebatan tersebut hanya beliau boleh bertanya soalan.
“Mengapa Pua begitu takut jika benar beliau mempunyai segala bukti penyelewengan 1MDB?”
Menurut MyKMU.Net mengikut persepsi awam Pua adalah seorang penakut yang memerlukan campur tangan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk menyelamatkannya daripada mendapat keaiban yang lebih besar
Portal itu berkata Pua membuat cabaran hanya kerana beliau beranggapan 1MDB tidak akan melayan cabaran beliau.itu.
“Pua dan DAP berharap dengan cabaran yang tidak disambut mereka akan menjadi hero dan boleh memainkan isu ini sehingga pilihan raya biar apa pun keputusan siasatan PAC dan pihak berkuasa,” katanya.
My.KMU.Net juga menggesa Arul Kanda supaya tidak membuang masa berdebat dengan ahli politik lain yang tidak mengetahui tentang isu tersebut.
