RM5b lesap dari sebuah bank Malaysia
Sejumlah RM5 bilion telah dipindahkan daripada sebuah bank persisiran pantai Malaysia yang beribupejabat di Melbourne, menyebabkan pihak pengawalatur kewangan Australia kini dalam kebingunaan.
Sejumlah RM5 bilion telah dipindahkan daripada sebuah bank persisiran pantai Malaysia yang beribupejabat di Melbourne, menyebabkan pihak pengawalatur kewangan Australia kini dalam kebingunaan.
Pegangan sahamnya juga telah dibubarkan tiga hari sebelum Mahkamah Agung Victoria di Australia meletakkannya di bawah tanggungan pemegang harta sementara, demikian menurut laporan akhbar tempatan semalam.
Sejak beberapa tahun lalu, Commercial IBT (CIBT) disenaraikan sebagai salah satu bank terbesar di Australia, dengan dana berjumlah $A8 bilion kira-kira RM20 bilion.
Bank kini didapati mempunyai modal berbayar RM5 dengan kira-kira RM150 tunai.
CIBT, yang memiliki lesen pembankan yang dikeluarkan tahun lalu, dan menjadi ahli Persatuan Bank Asia yang berpengaruh, dikatakan ada kaitan dengan beberapa pegawai tinggi kerajaan Malaysia.
CIBT memperkenalkan bank tersebut sebagai 'sebuah institusi kewangan yang terbabit dalam kewangan korporat, pelaburan umum dan perkhidmatan kewangan yang lain'.
Siasatan
Usaha untuk mengesan wang yang telah dipindahkan itu juga gagal manakala pihak pengawalatur Australia menyifatkan kes tersebut sebagai 'membingungkan".
Lembaga Sekuriti dan Suruhanjaya Pelaburan Australia mula menjalankan siasatan Februari lalu selepas pihak pengawalatur Malaysia menghubungi rakan sejawatanya di Australia berhubung perkara itu tahun lalu.
Ini berikutan soalan mengenai operasi CIBT dibangkitkan sewaktu persidangan Dewan Rakyat tahun lalu.
Pada 4 September lalu, bekas Ahli Parlimen PAS, Husam Musa, membangkitkan soalan mengenai CIBT dan menggesa Bank Negara supaya menyiasat operasi syarikat berkenaan.
Bagaimanapun, Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, yang bercakap bagi pihak Menteri Kewangan ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, berkata Lembaga Perkhidmatan Kewangan Pesisir Pantai Labuan, telah menyiasat latarbelakang syarikat berkenaan sebelum mengeluarkan lesen kepadanya.
Semakan dalam lamanweb Pejabat Cawangan CIBT Labuan hanya menunjukkan halaman kosong, yang bertulis,'halaman ini sedang dikemaskini".
Februari lalu, pengawalatur pembankan Australia menyerbu ibu pejabat CIBT untuk menyiasat operasinya yang diakwa melanggar Akta Perbadanan dan Jenayah.
Enam bulan kemudiannya, Mahkamah Agung Victoria, meletakkannya di bawah tanggungan pemegang harta sementara.
Tetapi tiga hari sebelumnya, saham biasa CIBT yang bernilai RM4.4 bilion serta wangtunai sebanyak RM1.13 bilion telah dipindahkan ke syarikat lain, Commercial IBT Ltd.
Pemegang harta memberitahu mahkamah bahawa mereka gagal mengesan pemegangan saham atau butir-butir mengenai syarikat baru itu. Menurut mereka, lembaga pengarah CIBT telah meletakkan jawatan dan nama syarikat itu telah ditukar kepada Kantoch Pty Ltd.
Siapakah Adrian Ong?
Menurut akhar Herald Sun di Melbourne, ibu pejabat CIBT terletak di tingkat 28 sebuah bangunan di kawasan komersil bandar tersebut. Tingkat tersebut mempunyai keluasan 20 meter bersegi yang dikongsi oleh 30 syarikat lain.
Syarikat tersebut juga dikatakan menyewa sebuah bilik mesyuarat lembaga pengarah di tingkat yang sama pada kadar RM50 sejam.
Menurut pemegang harta tersebut, nama sesetengah ahli lembaga pengarah CIBT didapati terdiri daripada orang yang sama seorang rakyat Malaysia berusia 43 tahun Dr Adrian Chee Beng Ong, yang tinggal di Melbourne.
Terdapat dakwaan bahawa ahli lembaga pengarahnya menggunakan alamat palsu atau mereka tidak dapat dikesan di alamat yang disenaraikan.
Ketika menafikan dakwaan tersebut, Ong memberitahu akhbar The Advertiser di Adelaide kelmarin, bahawa beliau dan CIBT telah menjadi mangsa 'kempen politik'.
"Kami lakukan ini atas alasan keselamatan," katanya kepada akhbar tersebut dari 'suatu tempat di luar Australia". Tidak diketahui di mana Ong berada sekarang.
Menurut affidavit, Ong memberitahu pihak penyiasat bahawa dia dan CIBT telah menjadi mangsa 'ancaman, ugutan dan keganasan' oleh satu kumpulan di Malaysia dan Australia.
Dia juga memberitahu pihak pengawalatur bahawa CIBT tidak mempunyai hutang dan saham-sahamnya telah dibatalkan untuk melindungi pelaburan pemegang sahamnya. Bagaimanapun, Ong enggan mendedahkan siapakah 'musuh-musuhnya' itu.
Ong juga didakwa mengendalikan urusan tersebut bagi pihak ahli-ahli politik berpengaruh di Malaysia.
Penyiasat di Australia berkata aktiviti sebenar CIBT masih merupakan satu misteri tetapi pemegang harta telah berjaya mengesan akaun bank CIBT di Malaysia yang mempunyai simpanan RM40,000. Akaun tersebut telahpun dibekukan.
Mahkamah Australia telah membubarkan syarikat tersebut pada bulan November.
Syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan dengan CIBT RG Investments Management Pty Ltd, Royal Corporation Pty Ltd, Value Fund International Pty Ltd and Lulamar Pty Ltd juga telah dibubarkan.

