Hakim pesara Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha menganggap ia sebagai satu keistimewaan untuk menjadi hakim dan bahawa seseorang tidak harus menganggapnya sebagai pekerjaan tetapi harus mencintai profesion itu.
Nasihat hakim berusia 66 tahun itu kepada hakim-hakim yang masih junior ialah supaya 'mencintai profesion perundangan' kerana menurut beliau untuk menjadi seorang hakim, seseorang harus mencintai profesion tersebut.
"Kadang-kadang ia memerlukan seseorang memberi tumpuan ataupun memberi tumpuan sepanjang masa," kata Tan dalam temu bual dengan media baru-baru.
Tan yang mengetip keluar kad perakam waktu di Istana Kehakiman untuk kali terakhir sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lepas untuk memulakan persaraan wajib, berkata beliau gembira kerana berpeluang menabur khidmat sebagai seorang hakim.
Ketika ditanya sama ada beliau telah memilih laluan kerjaya yang berlainan, Tan menjawab bahawa bukan kerana beliau berkata menjadi hakim adalah satu profesion yang cemerlang tetapi beliau berbangga menjadi anggota badan kehakiman.
"Menjadi peguam, kamu hanya boleh berhujah tentang apakah itu undang-undang tetapi apabila menjadi hakim kamu berpeluang untuk menulis tentang undang-undang," kata Tan yang menganggap dirinya sebagai 'masih kebudakan jika menyelami lubuk hatinya' kerana minatnya mengumpul askar-askar mainan.
Tan berkata beliau menghabiskan masa lapangnya dengan hobinya, mengumpul duit syiling dan askar mainan dan memberitahu bahawa beliau mempunyai koleksi askar mainan yang banyak.
Tan telah menulis beberapa penghakiman mengenai kes-kes terkemuka seperti projek jambatan bengkok di Johor Baharu melibatkan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini dalam kes bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo yang sabitan dan hukuman penjara 12 bulan dikekalkan kerana menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan tanah dan sebuah banglo.
Tan berkata beliau sepatutnya bersara pada 16 Mei tahun ini tetapi tempoh perkhidmatannya dilanjutkan selama enam bulan dan menambah beliau menumpukan sebahagian besar hidupnya kepada bidang kehakiman dan telah berkhidmat selama 21 tahun dan 15 hari dengan institusi itu.
Beliau percaya mana-mana kes mahkamah tidaklah sukar kerana menurut beliau, ia semua bersandarkan fakta kes dan mengenai undang-undang dan bahawa seseorang akan memperoleh keputusan yang betul jika fakta dijelaskan dengan betul dan mengguna pakai undang-undang yang betul dan bahawa pengaruh luar tidak menjadi pertimbangan.
"Saya sentiasa memberitahu diri saya bahawa orang yang berada di belakang peguam ialah anak guam. Jadi orang paling penting bukanlah peguam tetapi anak guam, pihak litigan. Jadi tanpa mengira kedudukan peguam dan keupayaan peguam saya mengingatkan diri saya untuk meneliti fakta kes dan undang-undang yang agak bebas meliputi segala-galanya," kata Tan.
Beliau menegaskan bahawa badan kehakiman adalah bebas dan setahunya, institusi itu tidak 'dipengaruhi sama sekali'.
Tan berkata ia mengambil masa beberapa hari untuk seorang hakim menulis penghakiman dan menjelaskan bahawa peringkat yang paling mengambil masa ialah untuk memperoleh fakta kerana hakim perlu meneliti fail-fail kes kerana ada yang setebal 10,000 muka surat.
"Walaupun kita mungkin mendengar kes itu selama hanya setengah jam atau mungkin sejam tetapi peringkat untuk menulis penghakiman, jika mahkamah perlu memberi penghakiman, ia membabitkan sebahagian besar daripada tumpuan hakim yang menulis penghakiman," kata beliau.
Katanya hakim bukan sahaja perlu menulis penghakiman tetapi beliau juga harus menyemak setiap penghakiman dan di mahkamah rayuan jika ia adalah keputusan secara kolektif, seorang hakim akan dipilih untuk menulis penghakiman dan beliau akan menyerahkan penghakimannya kepada hakim-hakim lain yang menganggotai panel untuk komen dan pembetulan yang mengambil masa sebelum mahkamah boleh menyampaikan penghakiman.
Tan berkata apabila mencapai keputusan secara bersama, hakim-hakim yang menjadi anggota panel kadang-kadang duduk bersama dan berbincang kerana hakim-hakim mungkin mempunyai pandangan preliminari.
Kepada soalan mengenai bagaimana beliau menggunakan masanya untuk menulis penghakiman, Tan berkata ia adalah merupakan proses yang berterusan sambil menambah bahawa tidak sukar untuk menulis penghakiman apabila ia telah menjadi satu tabiat.
"Jika boleh, tulis satu perenggan, jika boleh, sehari. Kembali ke bilik anda dan kemudian duduk sambil minum kopi dan selepas menikmati kopi, buka komputer dan mula menulis.
"Tetapi kadangkala hakim perlu inspirasi dan saya sentiasa percaya hakim seperti juga pelukis... kadang-kadang anda boleh melukis, kadang-kadang anda boleh menemui gabungan warna yang betul tetapi anda masih perlu menerokanya, anda perlu membuat penerokaan, saya sentiasa memberitahu pegawai saya bahawa menulis penghakiman ialah seperti membina sebatang jalan di tengah hutan, jangan peduli apa yang anda lihat, terus teroka dan teruskan," kata beliau.
Tan juga berkata para hakim tidak berada dalam kedudukan yang selesa kerana mereka tidak dapat menjawab kritikan atau memasuki gelanggang perdebatan awam.
Ketika ditanya bagaimana beliau menangani khabar angin bahawa sesetengah keputusan kes mahkamah telah 'diatur', Tan berkata, khabar angin adalah di luar kawalan hakim tetapi hakim akan memastikan bahawa keadilan dilaksanakan dan keadilan dilihat dilaksanakan dan sebahagian daripadanya ialah ialah memberi alasan-alasan bagi penghakiman mereka.
Beliau berkata kehidupan seorang hakim agak terpencil dan aktiviti harian hanya membabitkan pejabat dan rumah dan hakim juga berhati-hati dengan kehidupan sosial mereka.
"Apa yang saya lakukan ialah saya tidak mempunyai kehidupan sosial, jadi perkara itu adalah sangat jelas. Ia adalah pilihan saya sendiri untuk menerima kalangan rakan-rakan sejawatan saya, saya memilih untuk berada di rumah dan menjalankan kerja saya. Tidak perlu bimbang tentang begini,".
"Saya akan merasai kehilangan tempat ini (institusi kehakiman). Saya berpendapat seseorang perlu bersara. Saya berharap tidak bersara sepenuhnya tetapi saya berharap saya masih mempunyai masa untuk memastikan diri saya sibuk dan berguna," kata Tan yang berharap untuk menyertai bekas rakan-rakannya yang telah bersara dan menjalankan kerja-kerja timbang tara.
Mengenai soalan sama ada perlu untuk meminda undang-undang tertentu bagi membolehkan tertuduh dalam kes jenayah melakukan kerja-kerja sosial jika dia tidak dapat membayar denda yang dikenakan ke atasnya oleh mahkamah, Tan menjawab "saya hanya boleh menyatakan bahawa melakukan khidmat sosial hanya untuk pesalah muda dan hanya apabila mahkamah berpendapat bahawa khidmat seperti ini mencukupi untuk hukuman dan apabila hukuman dibenarkan di bawah undang-undang tidak melebihi penjara tiga bulan bagi setiap kesalahan yang kecil.
Tan berkata badan kehakiman sedang melakukan yang terbaik untuk membuat penambahbaikan dan institusi itu telah mempercepatkan dalam membuat penghakiman dan juga mengurangkan kes-kes tertunggak.
- Bernama
