Arul akan didakwa ikut Akta Hasutan, undang-undang SKMM
Bekas Setiausaha Agung PSM S Arutchelvan akan didakwa mengikut Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia pada Isnin depan.
Ini dipercayai ada kaitan dengan kenyataan PSM yang mengutuk penghakiman mahkamah persekutuan yang mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan meliwat.
"Selepas 10 Februari, PSM mengeluarkan kenyataan oleh Arul yang membidas penghakiman itu sebagai hukuman politik; berikutan itu, pada 19 Februari beliau telah ditangkap dan dikenakan tahanan reman.
"Kami percaya dakwaan ini adalah berhubung dengan kenyataannya itu," kata Setiausaha Agung PSM A Sivarajan kepada Malaysiakini ketika dihubungi.
Peguam Arutchelvam, New Sin Yew mengesahkan bahawa bekas setiausaha agung PSM itu akan didakwa mengikut Akta Hasutan pada Isnin depan.
Selain itu, beliau berkata Arutchelvam mungkin juga boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) 1998.
Mengikut pertuduhan alternatif, Arutchelvam menghadapi hukuman maksimum denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun.
New berkata beliau akan mewakili bekas setiausaha agung PSM itu di mahkamah.
Arutchelvam adalah tokoh pembangkang terbaru yang didakwa menghasut mengikut undang-undang zalim pra-kemerdekaan yang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan untuk memansuhkannya tetapi kemudian memungkirinya.

