Dakwaan menghasut ke atas Ahli Parlimen Seputih, Teresa Kok berhubung video kontroversial terbitannya ‘ Onederful Malaysia’ telah ditarik balik hari ini.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menggugurkan kes itu pagi tadi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur tetapi tidak memberikan alasan berbuat demikian.

“Saya gembira bahawa AG akhirnya menggugur atau menarik balik dakwaan menghasut terhadap saya di mahkamah sesyen pagi ini.

“Saya gesa AG supaya segera menggugurkan semua dakwaan mengikut Akta Hasutan terhadap semua mereka yang dituduh di bawah akta itu,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Klip video bertajuk 'Teresa Kok Onederful Malaysia CNY 2014' itu diterbitkannya pada 1 Feb tahun lalu.

Pemimpin DAP itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit Apartmen Putra Ria, Jalan Bangsar, Brickfields.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Video berkenaan memberikan nasihat melibatkan beberapa isu termasuk keselamatan, kekayaan, pendidikan dan ekonomi, menjadi topik dengan anekdot biasa kepada rakyat Malaysia dalam bentuk komedi.

Antara lain, merujuk kepada cincin berlian, beg tangan berjenama dan harta tanah di New York dan juga beberapa bahan berita lain yang berkaitan pelancongan dan pendidikan vernakular.