Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kedatangan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke negara disambut dengan perhimpunan aman oleh pelbagai segmen rakyat termasuk Parti Amanah Negara bagi menyatakan bantahan terhadap cadangan kerajaan Malaysia untuk menandatangani Trans-Pasific Partnership Agreement (TPPA).

Kebimbangan rakyat Malaysia terhadap TPPA adalah berkaitan kehilangan kedaulatan Perlembagaan dan undang-undang negara ini di mana di bawah TPPA, sebarang pertikaian antara kerajaan dan syarikat asing terlibat, ia akan dibicarakan di tribunal antarabangsa yang dikenali Investor-State Dispute Settlement(ISDS).

Di mana undang-undang antarabangsa yang akan mengatasi undang-undang dan bidangkuasa mahkamah negara.

Sudah terdapat banyak 'precedent' kes yang telah dibawa ke tribunal ISDS dan di antaranya adalah kes Chevron terhadap Ecuador di mana keputusan Mahkamah Ecuador mendenda Chevron di atas kesalahan undang-undang alam sekitar telah dicabar di tribunal tersebut.

Keperitan hidup rakyat yang sedang bergelut dengan kenaikan harga barang akan bertambah derita di mana harga barangan yang diimport akan meningkat terutamanya ubat-ubatan.

Ini kerana penggunaan ubat generik selama ini pasti akan terhenti di mana rakyat perlu menggunakan ubat asli yang diimport dari Amerika Syarikat.

Kehilangan pekerjaan juga adalah satu lagi risiko besar kerana dibimbangi syarikat asing terlibat lebih cenderung mengupah pekerja asing yang pasti akan memberikan kesan buruk kepada sosio-ekonomi rakyat Malaysia.

Golongan khidmat profesional tempatan seperti peguam dan arkitek juga akan terkesan apabila terpaksa bersaing dengan profesional luar dalam pasaran terbuka ini.

Sesungguhnya TPPA adalah 'gateway' kepada penjajahan baru negara ini. Penjajahan 'colonial' Inggeris di Perak bermula dengan Perjanjian Pangkor pada 1874 yang telah membuka pintu kepada Inggeris menguasai ekonomi dan pentadbiran Perak.

Adakah rakyat negara ini rela dijajah lagi sekali melalui modus operadi yang seakan sama? Irama dasar penjajahan 'gold, glory and gospel' akan dimainkan semula.

Adakah parlimen mampu memainkan perananannya sebagai semak dan imbang polisi kerajaan menyekat hasrat kerajaan untuk melaksanakan TPPA.

Rekod menunjukkan ahli parlimen kerajaan akan menyokong penuh polisi kerajaan, manakala mutakhir ini, pembangkang pula tidak mempunyai kata putus yang satu.

Hasrat untuk menolak bajet 2016 baru-baru ini menyaksikan terdapat ahli parlimen yang mengambil pendirian untuk menasihat telah bertindak untuk berkecuali ketika proses pengundian.

Oleh itu, semuanya terletak di tangan rakyat sendiri. Rakyat perlu sedar kesan jangka panjang terutama masa depan negara yang berada dalam keadaan 'at stake' jika TPPA diteruskan pelaksanaannya. Rakyat perlu bersatu hati dan suara untuk menolak TPPA.

Satu referendum suara rakyat perlu diadakan oleh kerajaan kerana kesan langsung dan tidak langsung TPPA adalah ke atas rakyat. Usahlah digunakan kuasa di legislatif dan eksekutif bagi tujuan legitimasi perjanjian yang menguntungkan kuasa imperialis tetapi menjerut kehidupan dan kebebasan rakyat yang merdeka.


FAIZ FADZIL timbalan ketua Pemuda Parti Amanah Negara.

Lihat Komen
ADS