Ketua Dewan Muslimat PAS dicabar pemimpin T'ganu
Ketua Muslimat Terengganu Fatimah Ibrahim dicalonkan sebagai pencabar jawatan Ketua Dewan Muslimat PAS, kini disandang Senator Jamilah Ibrahim, dalam pertandingan yang dijadualkan 2 Jun depan.
"Dari sudut Islam, seseorang tidak boleh menolak (pencalonan itu) jika pada pandangan masyarakat (bahawa) calon itu difikirkan layak memimpin. (Maka calon boleh) pertimbangkannya," kata Fatimah kepada malaysiakini pagi tadi.
Pada pandangan Islam, seseorang yang meminta dicalonkan tidak layak memimpin, tambahnya.
Apabila ditanya mengenai saranan Presiden Datuk Fadzil Noor supaya pemimpin yang dicalonkan tidak menarik diri, Fatimah berkata beliau "hanya berpegang kepada pandangan Islam."
Ketua Muslimat negeri itu berkata beliau "tidak terkejut" dengan pencalonan itu kerana pernah dicalonkan sebelum ini.
Beliau, yang telah lima tahun menerajui Muslimat Terengganu, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai pencalonan tersebut.
"Tidak boleh komen, takut (timbul) masalah (apabila dilaporkan) dalam akhbar," katanya apabila diminta mengulas sama ada hendak bertanding jawatan itu.
Ahli jawatankuasa pusat PAS Subky Abdul Latif, sebagai jurucakap urusetia persiapan muktamar, dalam taklimat sebentar tadi menjelaskan Fadzil telah dua kali mengulangi saranannya agar ahli-ahli yang dicalonkan meneruskan pertandingan dan tidak menarik diri.
Empat calon wanita
PAS akan mengadakan muktamar ke-47 selama empat hari di Markaz Tarbiyyah PAS Gombak, Selangor bermula 31 Mei ini. Ia dimulakan dengan mesyuarat Dewan Pemuda.
Ahli-ahli yang telah dicalonkan akan mengesahkan kesediaan untuk bertanding atau menarik diri sebelum 28 Mei ini.
Setiausaha Agung Nasharudin Mat Isa berkata sebelum ini hanya dua calon telah menarik diri daripada pertandingan.
Pertandingan kali ini menyaksikan penambahan wakil Muslimat dalam pencalonan untuk kerusi ahli jawatankuasa pusat PAS.
Empat calon wanita itu adalah Jamilah, Naib Ketua Dewan Muslimat Kalthom Othman, Ketua Penerangan Muslimat Dr Mariah Mahmud dan ahli jawatankuasa pusat PAS Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali.
Seramai 79 nama dicalonkan untuk merebut 18 kerusi ahli jawatankuasa pusat, sementara 14 orang dicalonkan untuk Naib Presiden.
Pindaan perlembagaan parti tahun lalu telah menambah satu lagi kerusi Naib Presiden menjadi tiga.
Fadzil dan timbalannya Abdul Hadi Awang menang tanpa bertanding.
Kira-kira 800 perwakilan dijangka hadir daripada 148 kawasan parti itu di seluruh negara, meliputi wakil Dewan-dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.