Kerajaan boleh mengurangkan kos menyelenggara pusat-pusat yang menempatkan orang pelarian dengan membenarkan mereka bekerja, kata Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri Simon Sipaun.

Menurutnya, kos untuk menyelenggara orang pelarian adalah tinggi, walaupun dengan bantuan kewangan daripada Suhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR).

"Jika orang pelarian mempunyai pekerjaan, mereka boleh menyara hidup mereka dan keluarga mereka dan secara langsung, dapat mengurangkan kos yang ditanggung oleh kerajaan. Pada masa yang sama, mereka juga dapat menyumbang kepada ekonomi negara," katanya.

Sipaun berkata, majoriti golongan ini tinggal di kawasan setinggan tanpa sebarang kemudahan asas, tetapi jika bekerja, mereka akan mampu mendapatkan keperluan asas seperti tempat tinggl, kesihatan dan pendidikan.

"Malaysia mempunyai sistem kesihatan yang terbaik di rantau ini. Kerajaan juga banyak berbelanja untuk meningkatkan lagi kemudahan tersebut.

"Oleh itu, Suhakam berpendapat kemudahan ini juga perlu dinikmati oleh orang pelarian, selaras dengan Konvensyen Orang Pelarian 1951," katanya ketika merasmikan majlis dialog mengenai isu orang pelarian anjuran Suhakam di Kuala Lumpur hari ini,

Malaysia tidak menandatangani konvensyen atau Protokol Berkaitan Status Orang Pelarian 1967.

Menurut Sipaun lagi, anak-anak orang pelarian juga tidak boleh dinafikan hak untuk mendapat pelajaran.

"Sebagai pihak yang menandatangani Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak 1989, kita mesti melindungi and mematuhi kandungan konvensyen tersebut. (Kanak-kanak ini) perlu diberi peluang untuk mendapatkan pelajaran bagi meningkatkan kualiti hidup mereka," katanya.

Pelarian Rohingya

Sipaun juga meminta supaya diperjelaskan mengenai kedudukan kad pengenalan untuk pelarian Rohingya.

"November lalu, kerajaan mengumumkan bahawa kertas pengenalan diri akan diberikan kepada pelarian Rohingya. Kita amat mengalu-alukan langkah tersebut dan pada masa yang, kami rasa perkara tersebut perlu diperjelaskan," katanya.

Pada 6 Disember lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Azmi Khalid menafikan bahawa kerajaan dalam proses untuk memberi kad pengenalan diri kepada pelarian Rohingya.

Bagaimanapun, empat hari berikutnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Abdul Aziz mengesahkan bahawa cadangan itu akan dilaksanakan.

Sehingga sekarang, Kementerian Dalam Negeri belum lagi menerima sebarang kelulusan bagi mengiktiraf Rohingya sebagai pelarian, dan mencadangkan supaya mereka menggunakan dokumen imigresen IMM13 untuk memohon tinggal secara sah di Malaysia.

Sipaun juga menegaskan bahawa Rohingya 'merupakan masyarakat unik kerana mereka tidak mempunyai sebarang kerakyatan', dan kerana itu, mereka tidak mempunyai pasport dan sebarang dokumen perjalanan'.

"Suhakam mencadangkan supaya pencari suaka yang sah diberi hak-hak yang sama yang dinikmati oleh rakyat asing yang tinggal secara sah di Malaysia," katanya.

Penghijrah ekonomi?

UNHCR menganggarkan terdapat hampir 10,000 pelarian Rohingya yang tinggal di Malaysia.

Bercakap dalam sidang akhbar kemudiannya, Sipaun memperjelaskan kenyataannya bahawa 'sebahagian besar pencari suaka dari Aceh telah dianggap sebagai penghijrah ekonomi' yang meninggalkan wilayah yang Indonesia yang sedang bersengketa.

"Sesetengah pihak melihat pelarian ini nampak menghadapi masalah yang sah, tetapi ada pula pihak lain yang menyangka mereka mengambil peluang ke sini untuk menikmati peluang ekonomi yang lebih baik," katanya.

Sipaun berkata kadangkalanya memang sukar, malah bagi UNHCR sendiri, untuk menentukan sama ada sesetengah rakyat Aceh ini benar-benar mencari suaka politik.

"Sepertimana yang saya katakan sebelum ini, adalah penting bagi kita membezakan mereka yang lari dari tanahair mereka kerana berdepan dengan ancaman sama ada dalam bentuk balas dendam, penindasan kaum atau budaya daripada mereka yang berbuat demikian kerana tujuan ekonomi," katanya.

Ini, tambahnya, merupakan antara isu-isu yang akan dibincangkan dalam majlis dialog dua hari itu, yang turut dihadiri pegawai-pegawai dari Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Kementerian Luar, Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Imigresen, Jabatan Penjara dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Isu-isu lain termasuk hak asasi pelarian, perkongsian maklumat, keselamatan negara dan layanan terhadap pelarian di negara-negara lain. Badan bukan kerajaan (NGO) Suaram dan Hakam juga terbabit dalam perbincangan esok.