Kementerian Pelajaran perjelas isu ketuanan Melayu
Akhbar Sin Chew Daily menyiarkan di muka 4 (Dalam Negeri) berita mengenai penjelasan Kementerian Pelajaran mengenai perkataan 'ketuanan Melayu' yang terdapat dalam buku teks sejarah untuk Tingkatan Lima.
Akhbar Sin Chew Daily menyiarkan di muka 4 (Dalam Negeri) berita mengenai penjelasan Kementerian Pelajaran mengenai perkataan 'ketuanan Melayu' yang terdapat dalam buku teks sejarah untuk Tingkatan Lima.
Dalam satu kenyataan, Pegawai Perhubungan Awamnya, Juliana Johan berkata, penulis buku tersebut hanya membuat pengenalan tentang konsep ketuanan Melayu, pembangunan negara dan kaum selepas peperangan dan sebelum kemerdekaan Malaya.
Beliau membuat penjelasan itu sebagai mengulas laporan dalam akhbar tersebut pada 25 November lalu mengenai perkara tersebut.
Juliana berkata, penulis buku tidak membincangkan konsep 'ketuanan Melayu' selepas kemerdekaan negara dan pembentukan Malaysia serta Malaysia sekarang.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata terdapat perkataan 'ketuanan Melayu' dalam buku teks sejarah Tingkatan lima di muka surat 108, 109 dan 165, menyebabkan orang ramai beranggapan bahawa para pelajar diajar mengenai isu kaum.
Lim mendakwa ini bertentangan dengan usaha kerajaan untuk membina masyarakat Malaysia
Menurut Juliana lagi, buku teks itu hanya menyenaraikan isu-isu sensitif yang tidak boleh dibincang atau secara terbuka untuk melindungi perpaduan kaum dan keselamatan negara.
Ahli Parlimen bantah kenaikan tol
Manakala di muka surat 10 (dalam negara), akhbar ini melaporkan Menteri Kerjaraya Datuk Seri Samy Vellu berkata beliau akan menyampaikan pendirian Ahli Parlimen yang membantah kenaikan kadar tol Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) kepada Kabinet.
Katanya, kebenaran untuk menaikkan kadar tol itu adalah keputusan kerajaan dan keputusan ini tidak terletak di tangan menteri.
Semasa menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman di Dewan Rakyat semalam, beliau berkata, pada tahun 80-an, kadar tol lebih tinggi berbanding kadar sekarang.
Menurutnya, kadar tol dahulu adalah 18 sen setiap kilometer, tidak seperti kadar sekarang, 13.5 sen setiap kilometer.
Katanya, ketika itu Kementerian Kewangan membuat keputusan untuk mengurangkan kadar tol selepas berbincang dengan Plus ) untuk mengurangkan beban rakyat, dengan melanjutkan kontrak Plus.
Samy berkata, beliau tidak dapat membuat apa-apa kerana adalah keputusan dan tanggungjawab kerajaan BN, tetapi beliau akan menyampaikan bantahan ahli-ahli parlimen itu untuk dibincangkan oleh kabinet.
Sekolah Cina terima bantuan kewangan RM6.47 juta
Nanyang Siang Pau pula melaporkan bahawa Kementerian Pelajaran telah memberi bantuan kewangan RM6.47 juta kepada 179 sekolah Cina dari bulan Mac hingga sekarang.
Timbalan menterinya, Datuk Mahadzir Khir berkata sepanjang tempoh yang sama, Kementerian Pelajaran juga memberi bantuan kewangan berjumlah RM546,000 kepada 67 sekolah Tamil.
Dalam laporan di muka A10 (Nasional) itu, beliau memberitahu sidang Dalam Dewan Negara semalam, walaupun bantuan kewangan yang diterima sekolah Cina kurang daripada sekolah kebangsaan tetapi ini tidak menjadi masalah.
Katanya, ini kerana sekolah jenis kebangsaan dan sekolah kebangsaan sama-sama mempunyai infrastruktur yang mencukupi dan tenaga pengajar yang cukup.
Beliau menegaskan bahawa bantuan itu diberi berdasarkan kepada permohonan dari pihak sekolah.

